Buletin

TOYOTA SAHKAN CENTURY COUPE BUKAN EV

Selama puluhan tahun, nama Century sinonim dengan kemewahan paling tinggi dalam hierarki Toyota.

Namun, era baharu sedang bermula. Pada Oktober lalu, Toyota mengesahkan bahawa Century tidak lagi sekadar satu model, sebaliknya berkembang menjadi satu jenama tersendiri yang bakal bersaing secara langsung dengan gergasi ultra-mewah seperti Rolls-Royce dan Bentley.

Di pentas Japan Mobility Show, bayangan masa depan jenama itu dipertontonkan melalui Century Coupe, sebuah coupe dua pintu yang lebih tinggi kedudukannya dan tampil berani dengan warna jingga terang.

Walaupun reka bentuk sudah dipamerkan, bahagian paling penting, sistem jana kuasa, masih menjadi tanda tanya. Satu perkara sahaja yang disahkan: ia bukan sebuah model elektrik.

Presiden powertrain Toyota, Takashi Uehara, ketika ditanya oleh CarExpert, menegaskan bahawa coupe tersebut tetap akan menggunakan enjin pembakaran dalaman.

Bagaimanapun, konfigurasi akhir masih belum dimuktamadkan.

Ketika ini, sedan Century di Jepun menggunakan enjin V8, manakala versi SUV digerakkan oleh enjin V6 plug-in hybrid 3.5 liter.

Dari sudut kos dan pembangunan, tidak mengejutkan jika Toyota memilih salah satu daripada dua penjana kuasa ini untuk model baharu tersebut.

Namun, jika mereka mahu mencipta impak lebih besar, beberapa pilihan lain turut terbuka.

Antara kemungkinan yang diperkatakan ialah enjin V8 dwi-turbo yang dijangka digunakan pada Toyota GR GT sebuah model prestasi tinggi yang disebut-sebut sebagai pencabar kepada Mercedes-AMG GT, dengan potensi kuasa sekitar 800 hp.

Tenaga sebesar itu mungkin terlalu ekstrem untuk sebuah model Century, tetapi Toyota boleh sahaja melarasnya untuk menghasilkan karakter pemanduan yang lebih santai dan mewah.

Uehara turut menambah bahawa Toyota kini mempunyai keupayaan mempercepatkan proses pembangunan enjin, dan keputusan mengenai konfigurasi akhir untuk Century Coupe dijangka tidak akan mengambil masa lama.

Google ads
Back to top button