Buletin

AIRSPEEDER MK3 KERETA LUMBA TERBANG PERTAMA DUNIA, JALANI UJIAN PENERBANGAN

Kereta lumba terbang pertama dunia, Alauda Airspeeder Mk3 melakukan ujian penerbangan sulung di kawasan gurun di selatan Australia, baru-baru ini.

Ujian penerbangan itu dipantau oleh Pihak Berkuasa Penerbangan awam Australia, namun butiran terperinci tidak didedahkan kepada umum.

Pengumuman mengenai ujian penerbangan itu dibuat dua tahun selepas prototaip Airspeeder hilang kawalan di West Sussex.

Menurut laporan The Guardian, Airspeeder Mk3 dibangunkan jurutera Jaguar, Rolls Royce, Boeing dan Brabham itu berupaya terbang pada kelajuan mencecah 150 hingga 250 km/j bergantung kepada bentuk muka bumi.

Sebanyak empat kumpulan dan 10 kereta lumba terbang akan menyertai pertandingan ala F1 yang dijangka berlangsung pada tahun ini.

Ketika pertandingan, kereta lumba terbang itu akan dikawal oleh juruterbang di daratan.

Kumpulan jurutera yang menghasilkan kereta tersebut turut menyasarkan juruterbang manusia memandu kereta lumba berkenaan menjelang tahun depan.

Kereta lumba terbang yang mempunyai berat 100 kilogram (tanpa pemandu) dengan panjang empat meter itu bergerak menggunakan bateri litium polimer yang membolehkannya terbang selama 15 minit.

Setiap perlumbaan akan berlangsung selama 45 minit, menyaksikan dua pit stop bakal dibangunkan untuk menukar bateri kereta lumba terbang tersebut. – agensi

Google ads
Back to top button