Buletin

PORSCHE MOMENTS SINGKAP SEJARAH KEJAYAAN LE MANS

Porsche melakar momen tersendiri dalam sejarah perlumbaan Le Mans yang mula diperkenalkan pada tahun 1923.

Pada bulan hadapan, Porsche Museum akan mendedikasikan tema khazanah “The Porsche success story in Le Mans” – (Kisah Kejayaan Porsche di Le Mans) bagi memperingati detik-detik bersejarah jenama berkenaan dalam perlumbaan tertua itu.

Detik bersejarah, Prosche bermula pada tahun 1951 apabila jentera 356 SL menjulang jenama itu menjuarai dalam kelas tersendiri perlumbaan berkenaan.

Kejayaan terus dilakar menggunakan alloy Coupe tersebut sebanyak 107 kali dan muncul juara keseluruhan 19 kali.

Selepas 70 tahun, Porsche melancarkan siri terbaharu enam episod, Porsche Moments dalam mengabadikan momen bersejarah itu.  

“Dalam format Porsche Moments baharu, kami akan menelusuri momen-momen istimewa masa lalu pada pandangan sudut hari ini dengan mengetengahkan sejarah korporat, produk dan perlumbaan.

“Kami mengolah semula detik-detik bersejarah secara autentik dengan mengajak saksi kontemporari dan peminat merasai pengalaman Porsche Moments melalui saluran media sosial,” kata Ketua Muzium dan Khazanah Porsche, Achim Stejskal.

Pemenang Le Mans dan juara endurance, Timo Bernhard akan menjadi hos bagi kesemua episod berkenaan.

Episod pertama menemukan Bernhard dengan Timbalan Presiden Motorsport Porsche, Fritz Enzinger yang bertanggungjawab memastikan jenama itu merangkul tiga kejuaraan di Le Mans.

Antara nama lain yang mewarnai Porsche Moments bersama Bernhard ialah Norbert Singer, Walter Röhrl dan Hans-Joachim “Strietzel” Stuck.

Selain Porsche 356 SL yang memiliki berat 680 kg, para peminat boleh menyaksikan jentera-jentera seperti 917 KH (1971), 936/81 dan 924 GTP (1981).

Tidak dilupakan model 962 (1987), 911 GT1 (1998) dan 919 Hybrid (2017).

Pengeluar kereta sports itu juga bakal mengadakan roadshow bermula Jun 2021 sehingga 2022 di 10 buah negara termasuk Perancis, Belanda, United Kingdom, Amerika Syarikat, China, Jerman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Porsche Museum mula memuatnaik episod pertama Porsche Moment di Instagram @porsche.museum pada 16 Jun lalu manakala lima lagi akan dipertontonkan pada setiap minggu.

Google ads
Back to top button