
ALPINA BUKAN LAGI BUDAK INTERN… DAH JADI STAFF BMW
Mulai 1 Januari 2026, jenama Alpina secara rasmi menjadi sebahagian daripada BMW Group. Pengambilalihan yang diumumkan sejak tahun 2022 itu kini telah dimuktamadkan dan BMW memberikan identiti baharu kepada jenama mewah tersebut dengan nama rasmi iaitu BMW Alpina.
Langkah ini menandakan permulaan baharu bagi sebuah jenama yang sekian lama sinonim dengan prestasi dan kemewahan yang bersahaja yang telah lama menggunakan cesi BMW. Namun begitu, persoalan besar masih berlegar adakah semangat unik Alpina terus hidup di bawah naungan BMW Group?
Kisah Alpina bermula bersama keluarga Bovensiepen, yang mula mengubah suai dan memperhalusi kenderaan BMW sejak tahun 1965. Selama beberapa dekad, Alpina membezakan dirinya daripada model BMW standard dengan menekankan kemewahan, ketelitian dan karakter pemanduan yang tersendiri, bukannya pendekatan agresif semata-mata.
BMW sedar sepenuhnya akan legasi ini. Menurut kenyataan rasmi BMW Group, syarikat tersebut komited untuk mengekalkan elemen yang menjadikan Alpina istimewa, sambil membangunkan jenama itu secara untuk menghadapi era baharu. Pembeli model BMW Alpina akan ditawarkan pelbagai naik taraf , bagi memastikan setiap kenderaan mengekalkan identiti dan keunikan yang kuat.
Salah satu petunjuk awal kepada hala tuju baharu ini ialah pengenalan wordmark terkini. BMW menggambarkannya sebagai jenama yang penuh keyakinan dengan lencana belakang yang diletakkan di tengah bagi menegaskan kedudukan BMW Alpina sebagai entiti bebas dalam BMW Group.
Rekaannya logo sengaja merujuk kepada tulisan Alpina dengan font tulisan era 1970-an, menggabungkan elemen warisan dengan sentuhan moden.
BMW turut menekankan bahawa kenderaan BMW Alpina akan dibangunkan dengan perhatian luar biasa terhadap perincian dan mutu pertukangan. Matlamatnya adalah untuk menghasilkan kereta buat peminat sejati khusuus untuk pemandu yang menghargai prestasi, keselesaan dan kestabilan dalam kadar yang seimbang.
Dengan membawa Alpina ke dalam BMW Group, masa depan jenama itu kini lebih terjamin. Bukan itu sahaja, Alpina kini mempunyai akses kepada teknologi moden BMW, sumber kejuruteraan canggih dan infrastruktur global, yang dijangka menjadi asas kukuh kepada masa depan BMW Alpina yang lebih cerah.
Masih timbul persoalan sama ada sebuah struktur korporat sebesar BMW Group benar-benar mampu mengekalkan kehalusan dan karakter unik yang selama ini menjadikan model Alpina begitu istimewa.
Langkah ini juga mengundang perbandingan dengan evolusi AMG di Mercedes-Benz. Seperti Alpina, AMG bermula sebagai penala bebas sebelum diserap sepenuhnya oleh pengeluar besar. Walaupun AMG berjaya mengekalkan identiti berteraskan prestasi, cabaran Alpina sedikit berbeza dimana jenama ini perlu mengekalkan gabungan unik antara kemewahan dan prestasi tanpa kehilangan jiwanya.

