Artikel Pilihan

GORDON RAMSAY HOS UTAMA TOP GEAR 2028

Rancangan automotif popular dunia Top Gear bakal kembali dengan wajah baharu apabila cef selebriti terkenal Gordon Ramsay, diumumkan sebagai hos utama bagi siri terbaharunya. Pelantikan itu menandakan satu perubahan besar buat program berkenaan yang sebelum ini cukup sinonim dengan barisan pengacara berlatarbelakangkan dunia automotif dan penyiaran.

Pengumuman tersebut dibuat oleh BBC Studios pada 25 November 2026 dengan Ramsay akan mengetuai barisan pengacara baharu yang bakal mengendalikan rancangan berkenaan, namun identiti hos-hos lain masih belum didedahkan setakat ini.

Menurut Ramsay, minatnya terhadap kereta sudah bermula sejak zaman kanak-kanak dan peluang menerajui Top Gear dianggap sebagai satu pengalaman istimewa memandangkan program tersebut mempunyai kedudukan tersendiri dalam dunia hiburan automotif antarabangsa.

Beliau juga berharap dapat membawa tenaga dan pendekatan baharu kepada rancangan itu, selain memperkenalkan Top Gear kepada generasi penonton seterusnya. Produksi siri terbaharu Top Gear dijadualkan bermula pada 2027, manakala episod baharunya dijangka mula disiarkan pada 2028.

Ini bermakna peminat perlu menunggu beberapa tahun lagi sebelum dapat menyaksikan kemunculan semula program tersebut di kaca televisyen. BBC sebelum ini mengumumkan bahawa Top Gear akan direhatkan pada penghujung 2023 selepas lebih dua dekad menjadi antara program automotif paling berpengaruh di dunia.

Keputusan itu dibuat susulan kemalangan serius yang melibatkan bekas pengacaranya Andrew Flintoff, ketika menjalani penggambaran pada Disember 2022. Insiden tersebut menyebabkan produksi rancangan berkenaan digantung sementara sebelum BBC mengambil keputusan untuk tidak meneruskan siri baharu buat tempoh yang belum ditentukan.

Sepanjang sejarahnya, Top Gear telah menampilkan beberapa pengacara terkenal, termasuk Jeremy Clarkson, Richard Hammond dan James May yang berjaya menjadikan program itu fenomena global. Selepas mereka meninggalkan rancangan berkenaan, beberapa pengacara lain mengambil alih tugas tersebut, termasuk Chris Harris, Paddy McGuinness dan Freddie Flintoff.

Pelantikan Gordon Ramsay dilihat sebagai langkah berbeza daripada pendekatan terdahulu kerana walaupun lebih dikenali dalam bidang kulinari dan televisyen, personalitinya yang lantang serta berkarisma mungkin memberikan dimensi hiburan tersendiri kepada Top Gear.

Persoalannya kini, mampukah Ramsay mengembalikan populariti Top Gear dan mengulangi kejayaan era Clarkson, Hammond dan May? Jawapannya hanya akan diketahui apabila siri terbaharu itu mula menemui penonton pada 2028.

Google ads
Back to top button