
FERRARI HASILKAN SPOILER AKTIF, TANPA MOTOR ELEKTRIK
Ferrari menunjukkan kreativiti kejuruteraannya apabila memfailkan paten bagi satu sistem sayap belakang aktif yang menggunakan mekanisme spring dan tekanan udara untuk mengubah kedudukannya secara automatik. Berbeza dengan sistem aerodinamik aktif yang memerlukan motor elektrik dan aktuator hidraulik, teknologi baharu ini menggunakan pendekatan mekanikal yang lebih ringkas.
Paten yang diterbitkan di Amerika Syarikat dengan nombor US 2026/0356443 A1 itu menggunakan tajuk Automobile With Increased Rear Aerodynamic Load. Permohonan berkenaan difailkan pada 8 Mei 2026 sebelum diterbitkan pada 12 November 2026.
Ferrari S.p.A. disenaraikan sebagai pemohon, manakala Stefano Dallari, Andrea Paolini dan Stefano Sartori dinamakan sebagai pencipta teknologi tersebut. Idea di sebalik ciptaan ini adalah untuk menghasilkan spoiler yang boleh bergerak antara dua kedudukan iaitu retracted position dan extended position secara automatik mengikut daya aerodinamik yang terhasil apabila kereta bergerak.

Sayap belakang memainkan peranan penting dalam menghasilkan daya mendap atau downforce, iaitu daya yang membantu menekan badan kenderaan ke permukaan jalan bagi meningkatkan cengkaman tayar ketika dipandu pada kelajuan tinggi. Secara umumnya, kedudukan sayap dan interaksinya dengan aliran udara di bahagian belakang kereta mempunyai pengaruh besar terhadap aerodinamik
Kedudukan sayap yang ideal ialah lebih jauh ke belakang boleh memberikan kelebihan dari sudut reka bentuk dan pengurusan aliran udara. Tetapi kekangan daripada aspek keselamatan kenderaan jalan raya menjadikan komponen yang menonjol terlalu jauh di belakang badan kenderaan berpotensi menjadi struktur pertama yang menerima hentaman ketika berlaku pelanggaran dari belakang.
Jadi kedudukan dan reka bentuk sayap perlu mengambil kira keperluan ujian keselamatan serta peraturan berkaitan. Ferrari menerangkan bahawa sayap belakang lazimnya perlu berada kira-kira 50 mm ke hadapan daripada bampar belakang bagi memenuhi keperluan yang dibincangkan dalam reka bentuk tersebut.
Kedudukan ini bagaimanapun bukanlah konfigurasi paling ideal untuk mencapai potensi aerodinamik yang dikehendaki.

Penyelesaian Ferrari adalah dengan menghasilkan sayap yang boleh bergerak ke belakang apabila kereta mencapai kelajuan ideal. Ketika kenderaan bergerak perlahan, sayap berada dalam kedudukan retracted, iaitu lebih ke hadapan dan tidak menonjol melepasi bahagian belakang bampar.
Apabila kereta bergerak semakin laju, aliran udara yang mengenai permukaan sayap akan menghasilkan daya aerodinamik yang menolaknya ke belakang. Sayap kemudian bergerak sepanjang landasan khas bagi mencapai kedudukan extended dengan sayap berada lebih jauh ke belakang dan boleh beroperasi dalam keadaan aliran udara yang lebih sesuai untuk keberkesanan aerodinamik.
Apa yang menarik ialah keseluruhan pergerakan tersebut tidak memerlukan motor elektrik. Ferrari menggunakan gabungan landasan gelongsor, kabel, takal serta spring berbentuk gegelung untuk mengawal kedudukan sayap.
Struktur sayap dipasang pada dua penyokong menegak yang mempunyai landasan khas. Bahagian sayap pula dilengkapi pin yang membolehkannya begerak mengikut laluan tersebut. Spring yang disambungkan kepada casis melalui kabel dan takal bertindak mengawal pergerakan serta membantu menarik sayap kembali ke kedudukan asal.

Apabila kelajuan meningkat, tekanan udara akan menolak sayap ke belakang sehingga mencapai kedudukan operasi. Apabila kelajuan menurun dan daya aerodinamik semakin berkurangan, daya spring pula membantu mengembalikan sayap ke kedudukan retracted.
Teknik ini mengurangkan kerumitan sistem berbanding teknologi aerodinamik aktif yang menggunakan motor, gear dan aktuator. Ia juga mengurangkan berat serta keperluan penyelenggaraan, walaupun keberkesanan sebenar masih bergantung kepada pembangunan dan ujian kejuruteraan.
Satu lagi ciri menarik dalam paten tersebut ialah sayap belakang dibahagikan kepada tiga bahagian, satu bahagian tengah dan dua bahagian sisi. Setiap bahagian mempunyai mekanisme pergerakan tersendiri yang membolehkannya bergerak secara berasingan.
Reka bentuk ini memberikan fleksibiliti tambahan dari sudut keselamatan. Sebagai contoh, sekiranya bahagian kiri sayap menerima hentaman, bahagian tersebut boleh bergerak ke hadapan tanpa semestinya menyebabkan keseluruhan sayap berubah kedudukan. Ferrari turut menerangkan beberapa pilihan mekanisme alternatif, termasuk penggunaan magnet atau peranti elektromagnet bagi membantu mengekalkan kedudukan sayap.

Aspek keselamatan ketika berlaku pelanggaran dari belakang juga diberikan perhatian. Memandangkan sayap boleh menonjol melepasi garisan bampar ketika berada dalam kedudukan extended, mekanisme tersebut direka supaya ia boleh bergerak kembali ke hadapan apabila menerima daya hentaman yang mencukupi.
Dengan kata lain, sayap tidak dikunci pada kedudukan paling belakang kerana apabila berlaku hentaman, ia boleh bergerak melawan daya spring dan kembali ke kedudukan retracted. Dokumen paten itu turut menerangkan bahawa sayap boleh ditolak secara manual tanpa memerlukan daya yang terlalu besar.
Model seperti SF90 Stradale menggunakan sistem shut-off Gurney untuk mengawal aliran udara di bahagian belakang, manakala 296 GTB mempunyai spoiler aktif yang terbina dalam bampar belakang. Ferrari menyatakan sistem pada 296 GTB mampu menghasilkan tambahan sehingga 100 kg downforce dalam keadaan ideal.
Model lebih ekstrem seperti F80 pula menggunakan sayap belakang aktif yang dikawal secara elektronik. Ferrari mendakwa keseluruhan pakej aerodinamik model tersebut mampu menghasilkan sehingga 1,000 kg downforce pada kelajuan 250 km/j.

Bagaimanapun, sistem yang diterangkan dalam paten terbaru ini mempunyai pendekatan berbeza kerana tidak bergantung kepada motor elektrik atau aktuator untuk mengubah kedudukan sayap. Sebaliknya, ia memanfaatkan tekanan udara sebagai daya penggerak, manakala spring dan kabel mengawal pergerakannya.
Buat masa ini, Ferrari belum mengumumkan sebarang model produksi yang akan menggunakan teknologi berkenaan. Lukisan dalam dokumen paten menunjukkan sebuah kereta sport berenjin tengah dengan konfigurasi dua tempat duduk dan sayap belakang jenis cantilever yang disokong oleh dua struktur menegak.
Sumber: Ferrari Patent US 2026/0356443 A1








