
LYNK & CO 07 GT TERJUN GAUNG PADA 70KM/H – UJI KEKUATAN CESI
Geely melakukan satu demonstrasi keselamatan yang agak ekstrem apabila sengaja menjatuhkan sebuah unit Lynk & Co 07 GT dari tebing dalam usaha membuktikan ketahanan struktur badan dan keupayaan sistem keselamatan model berkenaan. Ujian yang dijalankan di Zhangjiakou menyaksikan 07 GT dipandu melalui laluan khas sebelum dilancarkan ke udara dan terhempas ke permukaan tanah.
Kereta tersebut dilaporkan meninggalkan tanjakan pada kelajuan sekitar 70km/j sebelum mendarat dengan bahagian hadapan terlebih dahulu, menyebabkan kenderaan berkenaan melantun dan berguling beberapa kali sebelum akhirnya berhenti di atas keempat-empat roda.
Walaupun mengalami impak yang dahsyat, Geely mendakwa struktur kabin Lynk & Co 07 GT mampu mengekalkan integritinya. dengan semua pintu dilaporkan masih boleh dibuka selepas kejadian tersebut tanpa sebarang masalah. Situasi ini penting kerana keupayaan membuka pintu selepas kemalangan boleh membantu memudahkan proses menyelamatkan penumpang, khususnya apabila mereka tidak mampu keluar sendiri dari kenderaan.
Selain itu, cermin hadapan dan cermin sisi juga dilaporkan masih berada dalam keadaan baik. Bumbung kaca pula mengalami keretakan tetapi tidak runtuh ke dalam ruang kabin. Ini memberikan gambaran mengenai usaha pengeluar untuk memastikan struktur perlindungan penumpang kekal utuh walaupun kenderaan mengalami impak daripada pelbagai arah.

Satu lagi aspek yang diberi perhatian ialah sistem beg udara langsir dimana sistem berkenaan mampu mengekalkan tekanan selama lebih enam saat selepas diaktifkan. Ini memberikan perlindungan tambahan kepada kepala penumpang, terutama ketika kenderaan mengalami pergerakan berulang seperti melantun dan berguling.
Untuk makluman, Lynk & Co 07 GT merupakan sebuah model wagon yang menggunakan sistem rangkaian kuasa EM-PHEV., dipadankan dengan enjin petrol 1.5 liter turbo bersama dua motor elektrik dan bateri berkapasiti 28.3kWh. Gabungan sistem tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan yang dilaporkan mencecah 530hp dengan tork maksimum 764Nm.
07 GT menarik perhatian kerana menggunakan konfigurasi badan wagon yang semakin mendapat tempat dalam pasaran China, khususnya dalam kalangan pengguna yang mahukan praktikaliti sebuah kereta keluarga tetapi masih mengutamakan prestasi dan reka bentuk sporty.
Tetapi ini merupakan ujian dalaman yang dianjurkan oleh pengeluar dan bukannya ujian pelanggaran bebas seperti yang dijalankan oleh Euro NCAP atau C-NCAP. Oleh itu, keputusan demonstrasi tersebut tidak boleh dianggap sebagai bukti bahawa Lynk & Co 07 GT mempunyai penarafan keselamatan lima bintang.

Ujian pelanggaran bebas menggunakan protokol yang lebih tersusun, termasuk impak hadapan, impak sisi, perlindungan pejalan kaki dan penilaian sistem bantuan keselamatan. Ia juga membolehkan prestasi sesebuah model dibandingkan secara lebih objektif dengan kenderaan lain.
Namun demonstrasi ini tetap memberikan gambaran menarik mengenai usaha Geely dalam memperlihatkan kekuatan struktur badan dan keupayaan sistem perlindungan penumpang. Keadaan pintu yang masih boleh dibuka serta ruang kabin yang dilaporkan tidak mengalami keruntuhan besar merupakan antara perkara yang wajar diberi perhatian.








