
AMBULANS PASANG LAMPU SIREN ‘KANTOI’ BAWA ROMBONGAN KELUARGA
Sebuah video tular memaparkan sebuah ambulans yang dipandu laju untuk mengelakkan kesesakan ditahan pihak berkuasa.
Kejadian itu berlaku di Gerbang Tol Parungkuda, Kabupaten Sukabumi, Jawa Barat di Indonesia.
“Kami berasa curiga apabila melihat ambulans itu dipandu secara melulu menggunakan laluan kecemasan dengan lampu siren menyala. Hasil pemeriksaan kami mendapati ia ternyata tidak membawa pesakit atau petugas perubatan.
“Sebaliknya, penumpang ambulans itu adalah rombongan terdiri daripada tujuh individu yang mengaku mahu menziarahi keluarga di RS Sekarwangi.
“Mereka seperti hendak berlibur dan bukannya dalam situasi kecemasan,” kata jurucakap pihak berkuasa, Ipda Yanuar Fajar.
Menurutnya, ambulans tersebut kemudiannya diarah berpatah balik.
“Laluan kecemasan hanya boleh digunakan apabila ambulans membawa pesakit atau berdepan situasi darurat lain dan bukannya untuk kepentingan peribadi.
“Kami juga tidak menerima alasan mahu melawat orang sakit untuk menaiki ambulans,” tegasnya sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan ambulans semata-mata mahu cepat sampai ke destinasi. – Sinar Harian