
BYD Ti7 MASUK PASARAN INDONESIA, TEMPAHAN DIBUKA – JANA 402HP, JARAK GERAK 119KM
BYD dilaporkan bakal memperluaskan rangkaian modelnya di Indonesia menerusi pengenalan sebuah SUV tujuh tempat duduk, BYD Ti7 hibrid plug-in (PHEV).
Model berkenaan dijangka menjadi pilihan baharu dalam segmen SUV elektrifikasi, khususnya bagi pengguna yang mahukan kenderaan keluarga dengan ruang kabin luas serta gabungan enjin petrol dan motor elektrik.
Berdasarkan spesifikasi global, BYD Ti7 menggunakan teknologi DM-p (Dual Mode Performance) yang menggabungkan enjin petrol 1.5 liter turbo dengan motor elektrik. Bagi versi pasaran United Kingdom, gabungan sistem pacuan tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 408PS (402hp).
Sistem pacuannya menggunakan pacuan semua roda (AWD), membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 4.8 saat, manakala kelajuan maksimum yang dicatatkan ialah 190km/j.

Bagi sistem penyimpanan tenaga, BYD Ti7 dilengkapi bateri Blade Battery berkapasiti 35.6kWh. Berdasarkan spesifikasi pasaran UK, bateri tersebut membolehkan kenderaan ini bergerak sejauh 119km menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.
Dari segi penampilan, BYD Ti7 menampilkan rekaan SUV berbentuk kotak dengan garisan badan yang tegap, sekali gus memberikan imej sebuah kenderaan lasak.
Karakter tersebut turut diserlahkan menerusi penggunaan pelindung arka roda (overfender) dan rim aloi bersaiz 20-inci bagi versi pasaran UK.
SUV ini mempunyai dimensi seperti berikut:
- Panjang: 5,016mm
- Lebar: 1,995mm
- Tinggi: 1,865mm
- Jarak roda: 2,920mm
- Kapasiti tempat duduk: Tujuh penumpang
Dengan ukuran badan tersebut, Ti7 menawarkan ruang kabin yang luas menerusi susun atur tiga baris tempat duduk.
Kelengkapan kabin dan ruang bagasi

Bahagian dalaman dilengkapi skrin infotainmen bersaiz 15.6-inci yang berfungsi sebagai pusat kawalan pelbagai sistem kenderaan. Ia turut dipadankan dengan paparan meter digital 10.25-inci di hadapan pemandu.
Antara kelengkapan lain yang ditawarkan termasuk bumbung kaca panoramik, sistem audio dengan 18 pembesar suara serta penyaman udara tiga zon.
Tempat duduk hadapan juga dilengkapi fungsi pemanas dan pengudaraan bagi meningkatkan keselesaan pemandu serta penumpang.
Dari segi praktikaliti, ruang bagasi menawarkan kapasiti sehingga 970 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat. Kapasiti tersebut boleh ditingkatkan kepada 1,830 liter apabila kedua-dua baris tempat duduk belakang dilipat.
Menariknya, laporan media tempatan Indonesia turut mendakwa beberapa wakil jualan BYD sudah mula menawarkan tempahan awal bagi model berkenaan.
Seorang wakil jualan BYD di Jakarta dilaporkan mengesahkan bahawa tempahan telah dibuka dengan bayaran pendahuluan sebanyak Rp20 juta.
Bagaimanapun, BYD masih belum mengumumkan secara rasmi tarikh pelancaran, harga jualan serta spesifikasi akhir Ti7 untuk pasaran Indonesia.









