Buletin

EV DI CHINA ‘ADA OCD’? KELUAR MASUK PETAK PARKIR 868 KALI!

Sebuah kenderaan elektrik (EV) di China mencuri perhatian selepas sistem parkir automatiknya dilaporkan diaktifkan sebanyak 868 kali dalam tempoh satu malam, walaupun tiada pemandu berada di dalam kereta.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah kawasan parkir pangsapuri di wilayah Anhui, China, apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sebuah EV bergerak keluar masuk ruang parkir berulang kali ketika awal pagi.

Menurut laporan media China, Guangming Daily, kereta berkenaan dilihat memasuki petak parkir sebelum bergerak semula ke hadapan, kemudian mengulangi proses sama berkali-kali.

Pergerakan berulang itu turut mengundang perhatian seorang pengawal keselamatan yang menghampiri kenderaan selepas terdengar bunyi pelik dari kawasan parkir.

Bagaimanapun, sebaik memeriksa kereta berkenaan, pengawal itu mendapati tiada sesiapa berada di tempat duduk pemandu.

Pemilik kenderaan kemudian menyemak rekod sistem dan mendapati fungsi parkir automatik telah diaktifkan sebanyak 868 kali sepanjang malam. Kereta itu akhirnya berhenti di sebelah sebuah kenderaan lain yang turut berada di kawasan parkir berkenaan.

Kenderaan dalam rakaman itu dipercayai daripada jenama AVATR, pengeluar EV premium China yang dibangunkan menerusi kerjasama Changan Automobile, CATL dan Huawei.

Model AVATR dilengkapi sistem bantuan pemanduan pintar Huawei, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai punca fungsi parkir automatik itu beroperasi tanpa henti.

Antara spekulasi yang timbul ialah kemungkinan pemilik sengaja mengaktifkan fungsi berkenaan menerusi aplikasi telefon pintar bagi mengumpul mata dalam pertandingan teknologi bantuan pemanduan Huawei.

Huawei sebelum ini menganjurkan pertandingan dari 31 Oktober hingga 13 November, dengan 100 peserta teratas menerima mata berdasarkan jumlah parkir automatik yang berjaya dilakukan.

Namun, pengiraan mata hanya berlangsung antara jam 6 pagi hingga 10 malam. Oleh itu, aktiviti parkir sekitar jam 3 pagi seperti dalam kejadian itu tidak layak menyumbang kepada markah pertandingan.

Setakat ini, belum ada pengesahan sama ada kenderaan tersebut menyertai pertandingan berkenaan.

NDTV turut melaporkan kemungkinan sistem parkir menghadapi kesukaran mengesan persekitaran akibat pencahayaan yang kurang baik atau garisan petak parkir yang sudah pudar.

Punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti dan memerlukan penelitian terhadap rekod operasi kenderaan secara terperinci bagi menentukan sama ada ia berpunca daripada gangguan sistem, keadaan persekitaran atau faktor lain.

Google ads
Back to top button