Buletin

TOYOTA LAND CRUISER FJ BAHARU DILANCARKAN DI INDONESIA – DUA VARIAN, HARGA DARI RM192K

Toyota secara rasmi melancarkan All New Land Cruiser FJ di Indonesia selepas model SUV pacuan empat roda itu diperkenalkan menerusi acara GAIKINDO Auto Week (GAW) 2026.

Ditawarkan dalam dua pilihan, Land Cruiser FJ dijual pada harga Rp835 juta (sekitar RM192,050) bagi varian standard, manakala versi Adventure ditawarkan pada harga Rp870 juta (sekitar RM200,100).

Model terbaharu ini melengkapkan rangkaian keluarga Land Cruiser dengan pendekatan berbeza menerusi rekaan retro, saiz badan lebih kompak dan keupayaan meredah laluan lasak. Antara kelebihan yang diketengahkan ialah kemampuan mengharungi air sehingga kedalaman 700mm.

Sebagai sebuah SUV sederhana dengan kapasiti lima penumpang, Land Cruiser FJ dibangunkan menggunakan platform IMV yang menampilkan struktur kerangka berasingan daripada badan atau body-on-frame. Pembinaan ini diperkukuhkan bagi memberikan ketahanan tambahan ketika berdepan permukaan jalan yang tidak rata dan laluan off-road.

Dari segi ukuran, SUV ini mempunyai panjang 4,610mm, lebar 1,855mm dan tinggi 1,890mm, manakala jarak roda pula berukuran 2,580mm. Ia turut memiliki kelegaan tanah setinggi 245mm serta radius pusingan 5.5 meter bagi memudahkan pergerakan di kawasan sempit.

Bahagian luaran mengekalkan identiti Land Cruiser menerusi bentuk badan berkotak dengan garisan tegas. Bagaimanapun, terdapat perbezaan ketara antara kedua-dua varian, khususnya pada bahagian lampu hadapan.

Varian standard menggunakan lampu utama LED Projector berbentuk segi empat, sementara versi Adventure tampil dengan lampu bulat yang mengambil inspirasi daripada model klasik Land Cruiser FJ40.

Varian Adventure turut menerima beberapa sentuhan eksklusif termasuk reka bentuk Corner Shape Design, gril dengan tulisan TOYOTA serta panel MOLLE (Modular Lightweight Load-carrying Equipment) yang membolehkan pemilik menyusun dan membawa pelbagai kelengkapan untuk aktiviti luar.

Di bahagian kabin, susun atur papan pemuka direka dengan kedudukan lebih rendah bagi memberikan pandangan lebih luas kepada pemandu. Garisan tingkap turut dioptimumkan untuk membantu pemandu melihat keadaan sekeliling ketika melalui laluan mencabar.

Di sebalik penampilannya, Land Cruiser FJ menggunakan enjin petrol 2.7 liter 2TR-FE empat silinder yang menghasilkan kuasa 166PS pada 5,200rpm dan tork maksimum 245Nm pada 4,000rpm.

Kuasa disalurkan kepada sistem pacuan empat roda menerusi transmisi automatik enam kelajuan Super ECT. Sistem AI-Shift Control turut disediakan bagi melaraskan corak pertukaran gear berdasarkan keadaan jalan dan input pemandu.

Untuk pemanduan lasak, sistem pacuan 4WD menawarkan tiga pilihan iaitu 2H, 4H dan 4L. Mod 2H digunakan bagi pemanduan biasa, manakala 4H dan 4L memberikan bantuan tambahan ketika berdepan permukaan jalan yang memerlukan tahap cengkaman lebih tinggi.

Sistem Rear Differential Lock turut disediakan dan boleh diaktifkan ketika menggunakan mod 4L bagi membantu mengekalkan traksi apabila salah satu roda kehilangan cengkaman.

Toyota turut menawarkan mod ECT 2nd untuk mengubah karakter penyaluran kuasa mengikut keperluan pemanduan.

Aspek keselamatan pula tidak diketepikan apabila SUV ini dilengkapi Toyota Safety Sense 3.0 yang merangkumi Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA) dan Automatic High Beam (AHB).

Perlindungan tambahan diberikan menerusi tujuh beg udara serta sistem brek ABS, EBD dan Brake Assist (BA). Antara kelengkapan lain termasuk Panoramic View Monitor, Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert.

Toyota melengkapkan model ini dengan Drive Start Control (DSC), iaitu sistem yang membantu mengesan situasi pecutan tidak disengajakan akibat kesilapan penggunaan pedal minyak.

Google ads
Back to top button