Buletin

DUA INSIDEN BERASINGAN, DUA KERETA CHINA KEHILANGAN RODA DI JAKARTA

Sebuah BYD Atto 1 dilaporkan kehilangan roda belakang sebelah kanan selepas dipercayai melanggar pembahagi jalan konkrit di Jakarta Barat, Indonesia, pada 2 November lalu.

Menurut laporan media tempatan, pemandu mendakwa kenderaan elektrik (EV) itu masih mampu bergerak sejauh kira-kira satu hingga dua kilometer selepas insiden berkenaan sebelum gandar belakang rosak dan roda tercabut.

Kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi waktu tempatan di Jalan Lingkar Luar Raya, berhampiran susur keluar tol Kapuk-Kamal, Cengkareng.

Pemandu turut dilaporkan terdengar beberapa bunyi hentakan logam sebelum roda berkenaan tertanggal. Insiden itu kemudian tular di media sosial Indonesia dan mencetuskan perbincangan mengenai aspek ketahanan serta kualiti kenderaan elektrik buatan China.

BYD Atto 1 yang dikenali sebagai Seagull di China dan Dolphin Mini di beberapa pasaran Amerika Latin menggunakan platform e-Platform 3.0 dengan sistem pacuan roda hadapan.

Model berkenaan dilengkapi suspensi MacPherson di bahagian hadapan dan gandar torsion beam di belakang, selain menggunakan bateri Blade keluaran BYD.

Berat model Dynamic direkodkan sebanyak 1,225 kilogram, manakala varian Premium seberat 1,280 kilogram.

Bagaimanapun, punca sebenar kerosakan serta komponen yang menyebabkan roda tercabut masih belum dipastikan.

BYD Motor Indonesia menerusi ketua perhubungan awam dan kerajaan, Luther Panjaitan, memaklumkan pihak selepas jualan syarikat sedang berhubung dengan pemilik bagi mengatur pemeriksaan menyeluruh terhadap kenderaan itu.

Menurutnya, maklumat awal yang diterima menunjukkan kenderaan berkenaan mengalami hentaman kuat selepas melanggar pembahagi atau penghadang jalan.

Beliau turut menjelaskan jaminan kenderaan BYD meliputi kerosakan yang berpunca daripada kegagalan kualiti komponen. Bagaimanapun, laporan pemeriksaan rasmi masih belum dikeluarkan bagi menentukan punca sebenar kejadian.

Insiden itu berlaku hanya dua hari selepas sebuah Jaecoo J5 EV dilaporkan kehilangan keseluruhan pemasangan roda hadapan sebelah kanan di Jakarta Pusat pada 4 November.

Hasil pemeriksaan teknikal oleh Jaecoo Indonesia mendapati kenderaan berkenaan dipercayai melanggar pembahagi jalan dan penghadang tepi jalan sebelum roda tercabut.

Syarikat itu melaporkan kerosakan pada bampar hadapan kanan, fender dan pintu penumpang, namun tidak menemui petunjuk bahawa kejadian berpunca daripada kecacatan produk.

Kedua-dua insiden membabitkan model dan pengeluar berbeza serta belum menunjukkan sebarang kaitan dari sudut teknikal.

Google ads
Back to top button