
AUDI R8 BAKAL BERUBAH JADI SUPERCAR ELEKTRIK
Audi dilapor sedang membangunkan model pengganti bagi supercar Audi R8, dan difahamkan model tersebut bakal menjadi sebuah supercar berkuasa elektrik sepenuhnya, dan dilancarkan menjelang pertengahan dekad ini.
Ini adalah selari dengan perancangan elektrifikasi Audi di mana ia boleh diposisikan sebagai model tertinggi (halo model) selepas Audi melancarkan hanya model EV sahaja bermula 2026.

Tidak banyak info berhubung spesifikasi R8 EV ini, namun menurut laporan Autocar, Audi mungkin sekali akan menggunakan platform SSP Sport yang dibangun bersama Porsche menggantikan senibina J1 yang digunakan pada model Porsche Taycan dan Audi E-Tron GT.
Bercakap kepada Autocar, bos Audi Sport Sebastian Grams menjelaskan beliau sedang mendesak supaya Audi R8 digantikan dengan model elektrik sepenuhnya.
Namun, buat masa ini produksi model supercar elektrik tersebut masih belum disahkan lagi.
“Saya berjuang untuk (pengganti R8), begitu juga dengan lembaga pengarah Audi.
“Kami sedang meneliti konsep yang berbeza dan hala tujunya merupakan model berelektrik. Jika hasrat saya menjadi kenyataan, ia akan menjadi sebuah R8 elektrik,” jelasnya lagi. – Autocar