Buletin

PENGGANTI HUAYRA – PAGANI UTOPIA BERKUASA 852 HP, SIAP KOTAK GEAR MANUAL

Ucapkan selamat datang kepada pengganti supercar Pagani Huayra, dikenali dengan nama Pagani Utopia 2023. Berkuasa 852 hp, dan hadir dalam penawaran transmisi manual!

Pembangunan rekaan Utopia ini dikatakan mengambil masa kira-kira enam tahun, dan tidak seperti model Huayra mahupun Zonda, Utopia membawakan rekaan estetik yang lebih ringkas di bahagian luar tanpa mengorbankan aspek aerodinamik aktif yang amat diperlukan.

Ini adalah selari dengan permintaan para pemilik Pagani terdahulu yang mahukan tiga perkara penting: kesederhanaan, ringan, dan keseronokan pemanduan.

Ruang kabin pula menggandingkan penggunaan meter analog dan skrin digital di bahagian depan pemandu, tanpa kehadiran skrin infotainmen di bahagian tengah.

Bahagian tersebut dihiasi dengan beberapa meter fungsi, butang kawalan, serta suis untuk sistem kawalan iklim hypercar ini.

Namun, disebalik rupa paras yang ringkas itu, Utopia dilengkapi dengan nadi V12 turbo berkembar 6.0 liter dengan sudut 60 darjah yang diperoleh daripada Mercedes-AMG.

Ia berupaya menjana kuasa setinggi 852 hp dan daya kilas 1,100 Nm yang boleh dipadankan dengan transmisi AMT tujuh kelajuan yang menawarkan kadar penukaran gear terpantas, atau penawaran kotak gear manual sebenar lengkap dengan pedal klac!

Selain daripada resipi estetik dan kuasa, Pagani Utopia juga mementingkan aspek keringanan, di mana casis monocoque menggunakan bahan Carbo-Titanium HP62 G2 dan Carbo-Triax HP62, diikuti dengan bahan keluli Chromoly pada subrangka, dan bahan gentian karbon gred A baharu pada panel badan.

Sistem ekzos titanium dengan salutan bahan seramik itu memiliki berat sekitar 6 kg sahaja.

Disebabkan penggunaan bahan yang disebutkan tadi, berat badan Utopia ini adalah sekitar 1,280 kg.

Sistem gantungan Utopia menggunakan tetapan double-wishbone yang dibantu dengan peredam kawalan elektronik, bagi memastikan tayar Pirelli yang membaluti rim 21 dan 22 inci Utopia ini melekat dengan baik di atas jalan.

Manakala sistem brek Brembo yang digunakan merangkumi angkup enam omboh di depan dan angkup empat omboh di belakang, serta rotor brek seramik karbon.

Pagani merancang untuk menghasilkan hanya 99 unit model Utopia ini, tanpa mendedahkan perincian seperti harga jualan dan tempoh masa yang perlu dinantikan oleh para pemiliknya.

Google ads
Back to top button