Buletin

HONDA MAHU PERKENAL 10 MOTOSIKAL ELEKTRIK, MOTOR BESAR PUN ADA!

Di dalam dunia yang sedang galak dengan kereta elektrik, pasti tidak lengkap jika motosikal ditinggalkan dari arus perdana.

Mungkin tidak sepopular kereta penumpang namun pembangunan motosikal elektrik sedang giat dijalankan oleh pengeluar ternama seperti Honda dan Yamaha.

Pengeluar lain pun turut serta dan boleh dilihat melalui pelbagai jenama motosikal elektrik pada hari ini sama ada dari luar atau dalam negara.

Terbaru Honda mengumumkan rancangan besar bagi memperkenalkan sepuluh atau lebih motosikal elektrik menjelang 2025.

Di dalam misi tersebut, enjin pembakaran dalaman (ICE) tetap menjadi perhatian dan akan terus dimajukan.

Selain model elektrik baharu, Honda mensasarkan untuk meningkatkan jualan tahunan model elektrik kepada sejuta unit dalam tempoh lima tahun akan datang dan 3.5 juta unit menjelang 2030.

Sasaran 3.5 juta unit itu mewakili 15 peratus daripada jualan keseluruhan pada 2030.

Motosikal elektrik Honda dibahagikan kepada tiga kategori iaitu EV komuter, EM, EB komuter dan Fun EV.

1. EV komuter, perniagaan dan persendirian

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, permintaan motosikal elektrik bagi kegunaan perniagaan semakin meningkat susulan peningkatan kesedaran tentang alam sekitar di kalangan syarikat.

Sebagai respon, Honda membangunkan siri Honda e: Business Bike yang sekarang ini digunakan oleh Japan Post dan Vietnam Post Corporation.

Honda juga sudah memulakan ujian percubaan bersama dengan Thailand Post Company Limited dan merancang untuk mengeluarkan dan menjual model BENLY e: di Thailand pada September.

Honda BENLY e Pro 02

Siri Honda e: Business Bike dilengkapi bateri boleh ditukar ganti (swappable) Honda Mobile Power Pack (MPP) dan sesuai untuk perniagaan seperti penghantaran barangan kecil.

Untuk pelanggan persendirian, Honda merancang untuk memperkenalkan dua model elektrik komuter (commuter EV) di antara tahun 2024 dan 2025.

Tidak terhad kepada beberapa pasaran, Honda mahu menawarkannya ke negara Asia, Eropah dan Jepun.

2. Komuter EM dan EB (moped elektrik dan basikal elektrik)

Kenderaan jenis Moped Elektrik (EM) dan Basikal Elektrik (EB) sekarang ini mewakili lebih 90 peratus jualan global motosikal elektrik yang dianggarkan sebanyak 50 juta unit.

Di China yang merupakan pasaran motosikal elektrik terbesar dunia, EM dan EB sudah diterima dengan meluas sebagai pengangkutan harian.

Honda turut menawarkan produk tersebut dengan memanfaatkan infrastruktur pembekal dan operasi pembangunan serta pembangunan tempatan.

Berdasarkan permintaan EM dan EB diperingkat global yang dijangka meningkat, Honda merancang untuk memperkenalkan lima model kompak dan mampu milik.

Pengenalan model-model tersebut akan bermula dari sekarang hingga 2024 merentasi Asia, Eropah dan Jepun selain China.

3. FUN EV

Dari gambar yang dikongsi, jelas kelihatan motosikal dan skuter bersaiz besar dan ianya nampak menarik.

Tidak berselindung dan selain EV komuter, Honda juga sedang giat membangunkan model elektrifikasi dalam kategori keseronokan (FUN).

Model itu dibangunkan dari platform FUN EV dan Honda merancang untuk memperkenalkan tiga model saiz besar FUN EV di Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah di antara 2024 hingga 2025.

Tidak dilupakan Honda juga akan memperkenalkan model FUN EV untuk kanak-kanak!

Infrastruktur dan bateri

Infrastruktur dan bateri memainkan peranan penting dalam penerimaan kenderaan elektrik.

Untuk itu Honda akan memperluaskan program penukaran bateri termasuk membangunkan perniagaan khidmat penukaran bateri di pelbagai negara.

Honda juga dengan beberapa pengeluar motosikal Jepun lain sudah bersetuju dengan spesifikasi bateri standard. Usaha penyeragaman bateri turut dilakukan di Eropah dan India.

BACA: HONDA STEP WGN LAKU! LEBIH 27 RIBU TEMPAHAN DALAM SEBULAN DI JEPUN

BACA: HONDA FRANZ SYSTEM, BANTU OKU TANPA TANGAN PANDU KERETA!

BACA: HONDA N-BOX CUSTOM STYLE + BLACK BAHARU, GAYA LEBIH PREMIUM!

Google ads
Back to top button