
AUTOBACS SUPER GT BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA DENGAN PENUH AKSI
Para peminat sukan permotoran bakal disajikan dengan hujung minggu penuh adrenalin apabila perlumbaan 2025 Autobacs SUPER GT kembali ke Malaysia setelah 12 tahun, berlangsung dari 27 hingga 28 Jun di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS.
Perlumbaan ini bukan sahaja menjanjikan pertarungan sengit antara jentera terbaik dari Jepun, tetapi juga sebuah festival yang meriah dengan keunikan budaya dan kulinari Jepun.
Sebagai penganjur dan pemegang hak rasmi bagi pusingan Malaysia, HARO Sports & Entertainment menjanjikan pengalaman luar biasa kepada peminat, baik di trek mahupun di luar litar.
Dengan kerjasama Nihon Matsuri, festival tahunan yang menampilkan elemen budaya Jepun dan dikendalikan oleh Trumpet International, para pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti bertemakan budaya Jepun serta hidangan autentik dan inspirasi dari negara Matahari Terbit.

Sejak diperkenalkan, Nihon Matsuri telah menarik lebih 100,000 pengunjung dari pelbagai latar belakang termasuk peminat anime, manga, dan makanan Jepun.
Perjanjian kerjasama antara HARO Sports & Entertainment dan Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif XOX Network Berhad, YM Tengku Ezuan Ismara Bin Tengku Nun Ahmad, yang juga merupakan syarikat induk Trumpet International, telah dimeterai bagi menganjurkan SUPER GT Malaysia Festival 2025.
Jualan Tiket Bermula Dengan Harga Promosi
Bagi mereka yang ingin menyaksikan aksi perlumbaan dari tempat terbaik, jualan tiket telah dibuka bermula 27 Februari. Tawaran harga istimewa untuk pembelian awal adalah seperti berikut:
- Grandstand K1: RM80
- Grandstand Utama: RM200
- GT Club Paddock Hospitality: RM2,000
Tiket boleh dibeli secara dalam talian di www.supergtmalaysia.com. Setiap pembelian dikenakan caj tambahan RM3 bagi setiap tiket atau pas masuk.

Perlumbaan GR86 Cup Series Malaysia 2025 Dilancarkan
Sebagai tambahan kepada perlumbaan utama SUPER GT, peminat juga bakal menyaksikan perlumbaan sulung GR86 Cup Series Malaysia 2025.
Perlumbaan ini akan menampilkan 30 jentera perlumbaan GR86 dan akan menjadi pusingan pertama daripada empat perlumbaan sepanjang tahun, kesemuanya diadakan di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS.
SUPER GT: Kejohanan Berprestij Dengan Penyertaan Pengeluar Terkemuka
Kejohanan SUPER GT kembali ke Malaysia sebagai satu-satunya pusingan luar negara dalam kalendar perlumbaan 2025.
Perlumbaan sejauh 300km ini merupakan pusingan ketiga daripada lapan keseluruhan, dengan baki tujuh pusingan lain berlangsung di Jepun.
Antara pasukan dan jenama terkemuka yang bertanding dalam kelas GT500 dan GT300 termasuk Nissan, Lexus, Toyota, Honda, dan Subaru, selain jenama antarabangsa seperti Aston Martin, Lamborghini, Mercedes-Benz, Ferrari, serta BMW.
Kalendar perlumbaan SUPER GT 2025:
- Pusingan 1: Litar Antarabangsa Okayama (13 April)
- Pusingan 2: Fuji Speedway (4 Mei)
- Pusingan 3: Malaysia (27-28 Jun)
- Pusingan 4: Fuji Speedway (3 Ogos)
- Pusingan 5: Litar Suzuka (24 Ogos)
- Pusingan 6: Sportsland Sugo (21 September)
- Pusingan 7: Autopolis International Racing Course (19 Oktober)
- Pusingan 8: Mobility Resort Montegi (2 November)
Dengan kepulangan semula SUPER GT ke Malaysia dan pengenalan GR86 Cup Series, peminat permotoran boleh menjangkakan hujung minggu penuh aksi dan pengalaman budaya yang tidak dapat dilupakan.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada acara bersejarah ini!