
OPEL DAN CITROEN MASIH TAWARKAN KERETA TANPA SKRIN INFOTAINMEN – MANTAP WAK
Rasanya sekarang makin banyak pengeluar yang menambah pelbagai peralatan yang tidak diperlukan pada sebuah kereta untuk meningkatkan margin keuntungan. Antara yang paling ketara ialah skrin infotainmen bersaiz meja makan, rim sport dan tingkap berkuasa. Rim sport standard biasanya ramai yang terus tukar bila keluar kedai dan tingkap berkuasa bahagian belakang memang jarang diturunkan. Tingkap pemandu dulu kita turunkan untuk bayar tol tapi sekarang ramai dah pakai RFID.

Tapi nampaknya masih ada pengeluar yang masih menjual kereta tanpa aksesori yang disebutkan dan masih mampu mengaut keuntungan. Dacia adalah satu daripadanya diikuti dengan beberapa syarikat di bawah naungan Stellantis.
Sebelum ini Fiat menyatakan model baharu 2025 mereka boleh didapati tanpa skrin infotainment pada konsol tengah dan kini Opel dan Citroen turut menurut langkah sama dengan model Frontera dan C3 Aircross.

Jadi rekaan konsol tengah kini kelihatan lebih seperti kereta-kereta model lama dan terdapat tempat letak telefon pintar diletakkan di bahagian tengah agar kelihatan lebih kemas. Tak payah dah beli yang jual kat kedai RM2.99 yang bengkang bengkok tu.
Papan pemuka Citroen nampak paling menarik sebab ia tidak nampak macam dihasilkan dari plastic murah macam sesetengah kereta tu. Varian tertentu juga ditawarkan dengan gear manual, brek tangan yang berkesan dan tuil tingkap belakang manual. Percayalah tingkap belakang tu memang jarang sangat orang buka kecuali kalau ada penumpang yang terkentut selepas makan durian Raub.
Sebenarnya dan sejujurnya, skrin infotainmen ni memang tak perlu pun dan memang mneyusahkan. Dah lah sesetengah tu bunyi haram tak sedap. Jauh lagi sedap bunyi pemain audio single DIN keluaran 90an. Digital la sangat. Nak dengan lagu Salamiah Hassan pun boleh hilang mood.

Cukuplah dengan skrin kecil pada bahagian paparan meter untuk memberikan maklumat semasa kenderaan. Maklumat kadar pelepasan karbon monoksida pun ada sekarang. Nak buat apa benda tu? Nasib baik la maklumat kesihatan usus pemandu tak dinyatakan sekali.
Dah la. Abang nak cari Kancil lompat dalam talian jap. Bosan asyik lihat skrin android sampai senak biji mata.
