Buletin

AZNOM PALLADIUM. GABUNGAN PELIK TRAK PIKAP, SUV DAN SEDAN

Pengeluar kenderaan Itali, Aznom baru-baru ini mendedahkan foto Palladium yang dilihat sebagai jentera pelik gabungan trak pikap, SUV dan sedan.

Palladium dibangunkan di atas trak pikap RAM 1500 dan dihadkan kepada 10 unit sahaja. Model itu dikuasakan oleh enjin Hemi V8 bersesaran 5.7 liter yang mampu menjana 700hp dan tork 950Nm.

Ia hasil ubah suai melibatkan dua unit turbo BorgWarner, piston dan gegelung injap baharu, pancitan bahan api lebih berkuasa serta sistem ekzos yang telah direka semula.

Kuasa itu kemudian disalurkan menerusi pacuan empat roda yang membolehkannya mencatat pecutan 0-100km/j dalam masa hanya 4.5 saat. Sementara kelajuan maksimum dihadkan kepada 210km/j.

Dalam kondisi tertentu, enjin tersebut boleh beroperasi dengan sebahagoan silinder, sekali gus dapat menawarkan penjimatan bahan api.

Tugas membrek pula diserahkan kepada brek Brembo dengan cakera ventilasi bersaiz 408mm bersama empat omboh pada roda hadapan. Brek belakang pula terdiri daripada cakera 380mm dengan empat angkup.

Sistem suspensi juga direka semula secara eksklusif untuk Palladium yang memberikan jarak kelegaan tanah sekitar 30mm lebih rendah berbanding trak pikap RAM 1500 standard. Ia didakwa boleh ditala dalam 30 konfigurasi berbeza.

Aznom menjangkakan pelanggan Palladium datang dari Asia Barat, Rusia, China dan Amerika Syarikat. Spesifikasinya  akan dibina berdasarkan kepada permintaan pelanggan.

Harganya bakal mencecah AS$1 juta (RM4 juta), bergantung kepada spesifikasi yang dipilih.  

GALERI

Google ads
Back to top button