Buletin

BAIDU MAHU BUAT KERETA ELEKTRIK. TAPI BELUM JUMPA RAKAN STRATEGIK LAGI

Enjin carian internet gergasi China, Baidu dilapor sedang menimbang untuk menghasilkan kereta elektrik sendiri. Ia juga dikatakan sudah berbincang dengan beberapa pengeluar kenderaan untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Baidu sebenarnya ada terlibat dalam pembangunan teknologi pemanduan berautonomi dan memperkenalkan divisyen kenderaan pandu sendiri Apollo pada tahun 2017.

Apollo berfungsi sebagai pembekal kepada teknologi yang dikuasakan oleh kepintaran buatan (AI), hasil kerjasama dengan Geely, Volkswagen, Toyota dan Ford.

Menghasilkan EV akan membuatkan Baidu berbeza berbanding pesaingnya seperti Tencent, Amazon atau Alphabet Inc. Baidu didakwa ada menghubungi pihak Geely, Guangzhou Automobile dan Hongqi untuk menjalin kerjasama.

Baidu bagaimanapun enggan memberi komen. FAW tidak memberi sebarang maklum balas. GAC pula menyatakan ia mempunyai kerjasama strategik dengan Baidu dan kolaborasi lanjut bergantung kepada perbincangan.

Manakala Geely memberitahu pihaknya tidak tahu menahu tentang perkara tersebut.

Selain unit pemanduan autonomi Apollo, Baidu juga mengendalikan perkhidmatan teksi berautonomi dikenali sebagai Go Robotaxi. Kini beroperasi di Beijing, Changsha dan Changzhou. Minggu lalu, ia mendapat kebenaran untuk menguji lima buah kereta tanpa pemandu.

Apa pun, Baidu bukanlah gergasi teknologi pertama yang membina kereta elektrik sendiri. Januari lalu, Sony Corp mendedahkan kereta konsep dengan fungsi pemanduan sendiri. Sementara Didi Chuxing melancarkan van untuk tujuan ride hailing bersama BYD.

Google ads
Back to top button