Motosikal

MODENAS LANCAR KRISS 110 VERSI DISC BRAKE. HARGA BERMULA RM3,877

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS), hari ini memperkenalkan Kriss 110 varian disc brake (brek cakera).

Moped terlaris yang menjadi ikonik itu merupakan model motosikal yang dilancarkan buat julung kali pada tahun 1996.

Varian baharu ini dilengkapi beberapa peningkatan pada model Kriss 110 yang dilancarkan pada bulan September 2019 sejajar perkembangan terkini.

Kriss 110 varian disc brake dijual pada harga RM3,877 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) menawarkan tiga warna pilihan termasuk warna baharu.

Warna baharu tersebut merupakan merah manakala ia masih mengekalkan dua warna asli iaitu hitam dan biru.

Kriss 110 Disc Brake ini dilengkapi brek cakera piston berkembar pada bahagian hadapan dan brek drum di bahagian belakang.

Jentera seberat 97kg ini mendapat khidmat enjin empat lejang silinder tunggal SOHC sejukan udara yang mampu menjana kuasa 6.6 hp dan tork 6.7 Nm malah memenuhi piawaian pelepasan emisi Euro 3 dan penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Selain itu, ia turut mendapat sentuhan rekaan grafik baharu yang menarik dan menyerlahkan lagi jentera terbaharu ini.

Kriss 110 Disc Brake hadir dengan penyerap hentak berkembar, tayar tanpa tiub yang dilengkapi dengan rim sport, penutup enjin dan pelindung ekzos titanium berwarna kelabu menyerlahkan lagi sisi sporty.

Varian terbaharu ini didatangkan lampu hadapan jenis multi-reflectorbaharu dalam meningkatkan pencahayaan ketika menunggang pada waktu malam.

Dengan jarak roda lebih pendek, ia mampu memberi pengendalian lebih padu kepada para penunggang.

Bagi keselesaan pula, varian terbaharu itu menawarkan rekaan ergonomik diselaraskan untuk keselesaan optimum.

Bahan pada tempat duduk dipertingkatkan malah kusyen lebih tebal dan empuk sesuai untuk perjalanan seharian.

Bahagian sisi tempat duduk terdapat kemasan jenama MODENAS.

Kriss 110 Disc Brake mempunyai pelbagai ciri-ciri menarik termasuk meter minyak dan indikator gear digital, soket pengecas USB dan ruang simpan bawah tempat duduk berkapasiti 6.6 liter.

Nilai tambah lain yang tidak terdapat pada kebanyakkan motosikal lain dalam segmen kelasnya merupakan lampu kecemasan baharu.

Ini merupakan penambahbaikan yang penting terutama apabila ketika berdepan situasi kecemasan ataupun berhenti di tepi jalan apabila hujan.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan berharap “Ikon Malaysia” ini sekali lagi menjadi pilihan bagi setiap pengguna di Malaysia seperti pendahulunya.

“Ciri-ciri tambahan dipadankan pada varian Kriss 110 Disc Brake merupakan salah satu pilihan terbaik untuk pembeli motosikal pertama yang mencari jentera boleh dipercayai dan mudah dikendalikan.

“Ia dilengkapi dengan jaminan dua tahun atau 20,000km, atau yang mana terdahulu, diperakui EEV dan sepenuhnya mematuhi piawaian pelepasan Euro 3.

“Saya percaya bahawa dengan harga dan peningkatan keselamatan dan gaya baharu, kami mempunyai pemenang di tangan kami, ”katanya.

Google ads
Back to top button