MUSNAHKAN SARANG TEBUAN GUNA DRON RM50K. MACAM FILEM STAR WARS PULA
Sebuah dron telah diubah suai menjadi senjata semburan api untuk memusnahkan sarang tebuan yang mengganggu penduduk kampung di daerah Zhong, berhampiran bandar Chongqing, China.
Drone dengan kos £9,200 (RM49,800) itu dibangunkan oleh pasukan sukarelawan BlueSky Rescue bersama orang-orang kampung untuk memusnahkan 100 sarang tebuan di sana.
Mereka berjaya mengumpul dana tersebut untuk membeli sebuah dron sebelum ia dipasang dengan satu tangki minyak gasolin dan nozel.
Klip video yang dikongsi oleh Blue Sky Rescue menunjukkan beberapa orang pekerja menyiapkan dron dengan enam kipas itu sebelum ia diterbangkan.
Apabila berada hampir dengan sarang tebuan, pengendali drone mengaktifkan suis dan nozel untuk mengeluarkan api. Apabila sarang tersebut terbakar dan jatuh ke tanah, ia disambut dengan sorakan dan tepukan daripada orang kampung.
Mereka sangat berterima kasih kepada BlueSky Rescue kerana membantu mengatasi masalah tebuan tersebut.
Ancaman tebuan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Buktinya pada tahun 2013, 19 orang maut akibat disengat tebuan di Angkang, wilayah Shaanxi.
Seorang doktor, Guo Dongyang dari Jabatan Neforologu di Hospital Besar Tentera Chengdu menyatakan kadar kematian akibat disengat tebuan secara relatifnya tinggi. Ini kerana penduduk di kawasan terpencil sukar untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa yang disengat mengalami kegagalan hati, buah pinggang dan jantung, sekali gus berisiko meninggal dunia jika tidak mendapat rawatan segera.
Setakat ini, BlueSky Rescue sudah memusnahkan 11 sarang tebuan, ada lebih 100 lagi yang perlu diuruskan. – Daily Mail