
BAS JURAGAN 99 TRANS DENGAN TEMPAT TIDUR SEPENUHNYA DILANCARKAN DI INDONESIA
Senario per-bas-an ekspres di negara jiran Indonesia (juga dikenali sebagai AKAP –Angkutan Antarkota AntarProvinsi ) sememangnya cukup meriah dengan kehadiran pelbagai PO (Perusahaan Otobus) serta pelbagai spesifikasi. Daripada serendah pilihan tanpa pendingin hawa dan kerusi tempat duduk 2 + 3 satu barisan sehinggalah kepada varian eksekutif yang lebih mewah dan selesa (2 + 1)
Dan tahukah juga bahawa, di Indonesia penumpang juga boleh membuat pilihan kepada jenis tempat tidur sepenuhnya (kerusi yang boleh dibaringkan) untuk lebih kenyamanan sepanjang perjalanan. Cuma sebelum ini, pihak PO di sana agak berhati – hati untuk menawarkan pilihan jenis ini dengan hanya menawarkan jumlah yang terhad (antara 2 – 4 tempat sahaja) dengan selebihnya dibarisi oleh tempat duduk kelas eksekutif.

Kali ini, sebuah PO jarak jauh, Juragan 99 Trans telah melancarkan armada bas terbaharu mereka, bas dua tingkat SDD DC (Super Double Decker Dream Coach) yang hadir dengan kerusi tempat tidur sepenuhnya, pertama seumpamanya di Indonesia.
Menariknya bas dua tingkat ini merupakan paduan daripada casis yang diambil daripada Volvo B11R terbaharu dan menjadikannya sebuah bas tempat tidur sepenuhnya adalah hasil kerja tangan daripada karoseri Adiputro yang sememangnya cukup sinonim dengan pembinaan badan bas terkemuka.
Dan hasilnya cukup mengangumkan apabila hasil produk dipersembahkan dengan kemasan yang cukup terperinci baik di bahagian luaran mahu pun dalaman. Di bahagian luaran, pintu masuk pemandu dan krew di bahagian hadapan dipisahkan dengan penumpang yang terletak sedikit kebelakang.

Malah, di ruangan kabin pemandu juga mempunyai bahagian tersendiri yang terpisah bersama bahagian penumpang dengan pintu akses tersendiri dari dalam ke ruangan penumpang.
Bas ini mempunyai kapasiti 24 empat kerusi penumpang dengan fungsi sleeper individu secara bertingkat Kira macam ala – ala kelas perniagaan kapal terbang dia punya selesa. Setiap unit, tersedia sebuah Smart TV bersaiz 24 inci. Bolehlah melayan movie sewaktu menempuh perjalanan jarak jauh. Tempat duduknya juga dilengkapi dengan fungsi mengurut untuk memberikan lebih keselesaan.

Untuk soal makan minum usah bimbang, biasanya setiap PO di sana menyediakan perkhidmatan kupon makan di tempat rehat tertentu secara percuma (sudah termasuk dengan harga tiket).
Dan untuk menghilang haus, turut tersedia adalah dispenser air minuman bagi membolehkan penumpang membancuh kopi segera 3 in 1 yang mana ianya turut disediakan secara percuma.
Bagi melayani sakit perut akibat salah makan sambal ijo di salah satu rumah makan, penumpang usah khuatir kerana tandas yang disediakan sememangnya mampu berfungsi dengan BAB (Buang Air Besar). Oh ya, untuk yang tidak tahu, kebanyakan bas di sana sememangnya dilengkapi dengan tandas tetapi hanya untuk membuang air kecil semata dan bukannya air besar. Bas ini dilengkapi dengan bekas black water yang lebih besar untuk menampung fungsi BAB ini.

Pada bahagian bagasi bawah, pihak Adiputro telah mereka untuk mengoptimumkan ruangan tersebut bagi memuatkan bagasi penumpang tanpa masalah. Malah, untuk memuatkan motorsikal kapcai juga tiada masalah. Boleh juga menjana wang tempahan sekiranya ada penumpang ingin mengirimkan barangan bersaiz besar misalannya.
Bas Juragan 99 Trans akan memulakan perjalanan tidak lama lagi dengan menjadikan laluan Jakarta – Malang – Bali sebagai laluan utama untuk kedua armada ini.
Bas kita apalah cerita kan. Serasa lama pula tak menaiki bas ekspres ini.
Kredit Foto : YT Adiputro
BACA : INDUSTRI MICROBUS DI INDONESIA – APA BARANG GUNA VAN DARI CHINA



