Buletin

VOLVO BUSES LANCAR BAS DUA TINGKAT VOLVO B11RLE – SANI EXPRESS TEMPAH 12 UNIT

Volvo Buses hari ini melancarkan bas dua tingkat Volvo B11RLE 6×2 selepas memperkenalkan casis Volvo B11RLE 6×2 ke pasaran bas di Malaysia pada tahun lalu.

Volvo B11RLE didatangkan dengan ciri pintu masuk rendah yang menampilkan badan jenis ALPHA DD12 TQ.

Ia turut menawarkan ciri keselamatan maksimum menerusi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang dipertingkatkan melalui beberapa teknologi seperti Sistem Pemantauan Pemandu (DMS), berfungsi sebagai amaran sekiranya pemandu tertidur atau terleka ketika memandu.

Bukan itu sahaja, ALPHA DD12 TQ dibina sebagai sebuah bas yang mempunyai penampilan lebih lebar dan titik graviti rendah untuk memberikan kestabilan lebih baik.

“Sebagai pengantara di antara negeri dan perjalanan rentas sempadan, bas ekspres memainkan peranan penting dalam sistem pengangkutan di Malaysia kerana ia menawarkan alternatif yang lebih fleksibel serta ekonomikal kepada rakyat.

“Kami percaya usaha ini akan menggalakkan lebih banyak usaha dan pelaburan ke dalam industri bas tempatan seterusnya memberi manfaat kepada para pelanggan.” Kata Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook.

Tambah Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Warisan TC Holdings Berhad, Tan Keng Meng, “Pasukan teknikal bekerja siang malam sejak setahun lalu untuk menghasilkan bas dua tingkat premium ini.”

Bas dua tingkat Volvo B11RLE 6×2 itu akan diserahkan kepada Sani Express Sdn. Bhd di mana syarikat itu telah menandatangani tempahan sebanyak 12 unit. Jentera baharu ini akan digunakan untuk perjalanan di antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Kumpulan Sani, Wan Mohd Wan Iskandar bin Dato Salleh berkata, beliau yakin bahawa model baharu itu akan meningkatkan lagi rangkaian bas sedia ada ke tahap lebih tinggi kerana ia dapat menawarkan keselesaan luar biasa kepada pelanggan.

GALERI:

Google ads
Back to top button