Artikel Pilihan

INDUSTRI MICROBUS DI INDONESIA – APA BARANG GUNA VAN DARI CHINA

Satu perkara yang harus diakui, BK sememangnya jatuh hati dengan negara Indonesia. Kekuatan Bangsa Indonesia, kaya dengan sumber alam serta industri kenderaan mereka yang jauh lebih meriah walaupun mereka tidak mempunyai pengeluar sendiri. Dan tahukah anda semua bahawa Indonesia terlalu kaya dengan, industri pariwisata (perlancongan). Dan atas sebab itu, sektor pengangkutan untuk pariwisata ini juga cukup meriah.

Dan kali ini BK ingin mengulas tentang perihal Microbus, sebuah mode pengangkutan yang cukup popular di sana. Untuk yang tidak tahu, kondisi jalanraya di sana barangkali tidaklah sebaik di tempat kita (tempat kita pun bukanlah elok sangat sebenarnya, kalau tak jalanraya berlubang, pasti kita akan tertembung dengan dengan jalanraya yang mempunyai bonggol unta). Akan tetapi ada sesetengah kawasan di sana yang mana jalanraya agak sempit dan kecil untuk dilalui oleh bas bersaiz sebenar. Maka, sudah tentu kehadiran Microbus ini menjadi tunjang buat pengguna di sana.

Takrifan Microbus berdasarkan Peraturan Pemerintah (PP) No. 55 Tahun 2012 (Untuk negara Indonesia), ianya termasuk dalam kategori bas kecil dengan berat diantara 3.5 tan hingga 5 tan, lebar tidak melebihi 2.1 meter dan panjang maksimum adalah 6 meter.

Dan untuk Microbus ini, apa yang uniknya boleh dikatakan kesemunya telah dibina semula oleh para pembuat karoseri yang cukup mahir dalam pembuatan Microbus ini daripada pelbagai chasis. Sudah tentu, model Isuzu ELF adalah yang paling popular dibina di sana. Bayangkan, daripada chasis sebuah lori, ianya dibina sebuah model pengangkutan yang bukan biasa biasa.

Dan kebiasannya, Microbus yang dibina khusus oleh para karoseri yang ada di sana seperti AdiPutro dan juga New Armada bagi memenuhi permintaan yang sentiasa ada, baik dari segi para pengusaha pariwisata mahupun untuk kegunaan persendirian.

Kiranya model Microbus ini sememangnya bersepah. Dan ianya dibina daripada pelbagai model. Pendek kata, asal jumpa chasis yang sesuai, maka bolehlah dibina sebuah Microbus ini. Daripada sepadat padat tempat duduk, sehinggalah kepada mode pengangkutan gaya Sultan dengan barisan tempat duduk Captain Seat serta lengkap dengan paparan tv LED di dalamnya.

Dan para karoseri ini biasanya membina mengikut spesifikasi yang diminta oleh pelanggan dan kapasiti maksimum sehingga 19 penumpang termasuk pemandu. Paling menarik, ruangan dalamannya juga kelihatan cukup bergaya, persis bas persiaran mewah dengan tempat duduk yang dibaluti fabrik mahupun kulit mengikut tempahan pelanggan. Dan paling penting, kedudukan bumbung yang tinggi, membolehkan para penumpangnya bergerak tanpa masalah.

Beberapa tahun dahulu BK turut pernah menyewa Microbus ini sewaktu bercuti di sekitar Kota Medan. Memang cukup selesa apatah lagi bercuti bersama ahli keluarga yang ramai. Cumanya sewaktu melewati laluan berbukit menuju ke Berastagi, dia punya sakit belakang jangan cakaplah. Maklumlah, chasis lori lah katakan. Setiap kali melewati lalun yang rosak, setiap kali itulah badan turut sama terikut bergoyang sana sini. Tapi apabila melalui lebuhraya, dia punya selesa jangan cakaplah.

Selain kapasiti penumpang, kapasiti bagasi yang luas juga menjadi faktor utama mengapa Microbus ini menjadi pilihan di sana. Kiranya Microbus ini orait jugalah kan untuk membawa penumpang di sana. Sendiri buat, sendiri guna. Apa barang nak beli van dari China kan?

Kredit Foto : FB Adi Putro Bus Builder

BACA : ALKISAH PEMBUATAN KAROSERI INDONESIA

BACA : VAN, PELANCONGAN DAN CHINA. APA SEMUA INI?

Google ads

B K

Back to top button