Buletin

BERGESEL DENGAN PROTON EXORA, GANDAR BELAKANG ALZA TERCABUT

Gandar belakang sebuah MPV Perodua Alza tercabut selepas bergesel dengan Proton Exora di Kilometer 1.5, Jalan Tampin-Seremban di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin kira-kira jam 9.30 malam semalam. 

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab. Wahab memberitahu, berdasarkan siasatan awal, Proton Exora yang dipandu seorang pelajar kolej swasta di Kota Damansara datang dari arah Seremban. Manakala Perodua Alza yang dipandu oleh seorang pesara kerajaan berusia 63 tahun pula dari arah Tampin.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Proton Exora hilang kawalan selepas mengelak binatang yang melintas jalan, sebelum memasuki laluan bertentangan. Ini menyebabkannya  bergesel dengan Perodua Alza pada bahagian depan sebelah kanan.

“Perlanggaran itu menyebabkan Perodua Alza berkenaan berpusing dan satu set tayar belakangnya tercabut,” katanya dalam satu kenyataan. 

Pesara dan pelajar berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Tetapi penumpang Proton Exora mengalami pening akibat terhantuk di papan pemuka dan menerima rawatan di Hospital Pantai, Melaka.

Kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59). – K!ONLINE

Google ads
Back to top button