
PROTON EXORA BAKAL DIHENTIKAN DISEMBER INI – GEELY JIAJI SEBAGAI PENGGANTI?
Sejak berada di atas jalan raya kira-kira 13 tahun lalu, Proton Exora sememangnya menjadi pilihan orang ramai kerana begitu praktikal terutamanya sebagai MPV keluarga.
Meskipun kekal popular dikalangan pengguna sehingga ke hari ini, Proton bagaimanapun dikhabarkan bakal menghentikan pengeluaran MPV tersebut pada Disember depan.
Menurut sumber boleh dipercayai, Proton Exora bakal digantikan dengan Geely Jiaji selepas model itu rasmi dilancarkan di China.

Dari segi saiz, Jiaji berukuran 4,706mm panjang, 1,909mm lebar, 1,690mm tinggi, dengan jarak roda 2,805mm.
Sebagai perbandingan, Proton Exora mempunyai ukuran 4,615mm (panjang), 1,809mm (lebar), 1,691mm (tinggi) dan jarak roda pada 2,730mm.
Secara mekanikal, Jiaji semasa boleh didapati dengan rangkaian petrol biasa, menampilkan enjin empat silinder pengecas turbo 1.8 liter, menghamburkan kuasa 181hp dan tork 300Nm.
Pada Mei lalu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah merespon perkhabaran tersebut, menyatakan bahawa segalanya akan berdasarkan keperluan pasaran.
“Berkaitan model pengganti, kami masih mengkaji,” katanya.
Pada tahun lalu, Proton telah memperkenalkan model Exora 2023 dengan kemaskini kecil termasuk mengekalkan enjin pengecas turbo 1.6 liter Campro, menghasilkan 138hp dan tork 205Nm bersama transmisi CVT.
Untuk rekod, jualan Proton Exora adalah sebanyak 400 unit sebulan.
- BACA: PROTON JALIN KERJASAMA DENGAN MYTUKAR, MUV DAN CARSOME – TAWAR PELBAGAI FAEDAH KEPADA PELANGGAN
- BACA: PROTON LANCAR X70 1.5 TGDi PREMIUM X, HARGA BERMULA RM126K
- BACA: FOTO INTIP: PROTON S50 SEDANG DIUJI DI TANJUNG MALIM – SAINGAN KEPADA HONDA CITY, TOYOTA VIOS
- BACA: PROTON S50 DIKESAN DIPANDU UJI DI SUBANG JAYA – TAMPIL STERENG SEBELAH KANAN