PROTON EXORA SEDANG DIBANGUNKAN? TERIMA KASIH GEELY!
Kita semua tahu bahawa lambat-laun Proton Exora pasti akan mendapat penggantinya. Malah, sejak kerjasama Proton-Geely terjalin, ramai yang membayangkan bahawa MPV pertama Proton itu akan mendapat model gantian lebih cepat – hasil pembangunan sepenuhnya daripada Geely.
Ini foto yang berlegar di laman media sosial sejak semalam. Asalnya dimuatnaik dalam komuniti Proton yang menamakanya sebagai Geely Jia Ji.
Latarbelakang foto asal juga jelas menunjukkan ia dirakamkan di Malaysia. Lebih tepat lagi di kompaun Proton dan mungkin di bahagian Penyelidikan dan Pembangunan.
Walaupun foto ini hanya sisipan separuh imej, jika melihat pada garis badan, ia nampak sangat mirip dengan Geely Jia Ji, MPV pertama Geely yang dilancarkan baru-baru ini.
Kelihatan kerangka model ini dibogelkan untuk tujuan kajian. Berkemungkinan besar untuk disesuaikan dengan spesifikasi pemanduan sebelah kanan dengan beberapa penyesuaian sepertimana X70.
Sebagai MPV 7 tempat duduk pertama Geely, Jiaji mempunyai saiz 4,706 mm X 1,909 mm X 1,664 mm dan jarak roda 2,805 mm. Saiz ini menghampiri konfigurasi sebuah Toyota Estima, ia jauh lebih besar dan lebar dari Proton Exora sekarang.
Geely Jia Ji MPV direka di studio reka bentuk Geely Shanghai, salah satu daripada lima studio reka bentuk global yang terdiri daripada 600 orang kakitangan di seluruh dunia.
Jia Ji MPV Geely diilhamkan berdasarkan kepada falsafah reka bentuk “melalui ruang dan masa”, selari dengan produk terbaru Geely iaitu Bo Rui GE dan Bin Rui.
Model baru ini mengikut reka bentuk kenderaan keluarga yang bergaya dan dinamik Geely Auto termasuklah lampu kepala meteor, gril kosmos yang lebar, gril radiator lebih rendah dan gayaan reka bentuk coupe.
Bahagian dalaman juga telah direka dengan pelbagai teknologi bersepadu. Ia memberi tumpuan khusus kepada pemandu menerusi papan pemuka penuh, panel kawalan berpusat yang mewah dan konsol kawalan bumbung.
Di tengah-tengah papan pemuka ialah panel infotainmen dengan skrin 12.3 inci bersama butang kekunci di bawah yang memberikan rasa segar dan mewah.
Konsol kawalan bumbung dilengkapi lampu siling yang bukan hanya meningkatkan keselamatan dengan memudahkan mencari suis dalam gelap.
Jia Ji juga dilengkapi panel kawalan pusat dek bertingkat dengan ruang simpanan tambahan di bawahnya. Di samping tuas gear elektrik, panel kawalan pusat juga terdapat cup holder pintar yang boleh digunakan untuk memanas atau menyejukkan minuman.
MPV baru akan menggunakan 3 pilihan konfigurasi tempat duduk. Ia terdiri dari susunan 2+2+2, 2+ 2+3, atau 2+3+2. Ia bertujuan untuk mobiliti keluarga, bertemu dengan rakan, perjalanan perniagaan atau sebarang keperluan pengangkutan kenderaan yang lain, MPV Geely ni memang dibuat untuk memenuhi keperluan semua.
Sejajar dengan “Inisiatif Geely Blue”, di mana Geely komited untuk menghasilkan 90 peratus jualannya kepada kenderaan tenaga baru, termasuk hybrid dan kenderaan elektrik pada tahun 2020, Geely MPV juga akan memanfaatkan sepenuhnya teknologi tenaga baharu tersebut.
Jia Ji akan datang dalam versi hibrid ringan 48V (MHEV), plugin hibrid (PHEV) dengan enjin 1.5TD yang dipadankan dengan transmisi 7DCT atau versi enjin petrol biasa 1.8TD yang menggunakan transmisi automatik 6-kelajuan.
MHEV – Mild hibrid
Versi MHEV dilengkapi enjin 1.5TD dan motor 48V BSG hibrid yang mempunyai kuasa maksima 188hp dan tork 300Nm. Catatan penggunaan bahan api ialah 5.9L / 100km bagi pemanduan bandar dan lebuh raya
PHEV – Plug In Hibrid
Versi PHEV dilengkapi kombinasi enjin hibrid 1.5TD bersama transmisi 7DCTH dan bateri lithium berkapasiti ultra-tinggi 11.3kW.h. Ia mampu menghasilkan kuasa 125hp dan tork maksimum 385Nm.
Gabungan penggunaan bahan api bandar dan lebuh raya hanya 1.6L / 100km.
ENJIN PETROL
Versi petrol dilengkapi enjin 1.8TD yang dipacu oleh transmisi 6AT. Ia menghasilkan kuasa maksimum 181hp dan tork 300Nm.
Jika mengikut garis pengeluaran Proton, Exora yang dilancarkan pada 2009 sudah sampai masa untuk digantikan dengan model baru. Namun, apa yang pasti, ia tidak akan muncul dalam masa terdekat.
Perkiraan kami, sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun lagi kerana hampir pasti Proton X50 akan dilancarkan tahun hadapan.
Paling awal pada 2021 – Ini jangkaan kami.
- BACA: GEELY JIAJI, BAKAL PENGGANTI EXORA AKAN DATANG
- BACA: INI ADALAH MODEL DIJANGKA DIHASILKAN PROTON
- BACA: GEELY PERNAH BINA KERETA BURUK YA ROBBI – FENGYIN
- BACA: GEELY JIAJI (EXORA) DILANCARKAN DICHINA
GALERI