GEELY JIAJI: PENGGANTI PROTON EXORA? APA YANG KITA TAHU SETAKAT INI
Proton Exora dilancarkan pada bulan Mac 2009 dan masih lagi dijual sehingga hari ini bersama-sama saingan azalinya iaitu Perodua Alza. Namun dengan usia produk yang menjangkau 11 tahun, rekaan dan tekologi yang digunakan pada Exora nampak semakin ketinggalan. Proton perlukan satu produk baru untuk menggantikan Exora dengan segera.
Antara model yang sangat relevan untuk menggantikan Exora ialah Geely Jiaji iaitu sebuah MPV saiz sederhana. Beberapa hari lepas tersebar khabar angin mengatakan Proton sedang menfailkan satu tanda nama dagang V70. Kami tidak pasti samaada nama V70 ada kaitan dengan Geely Jiaji atau tidak.
Tapi kami bawakan kepada anda beberapa fakta pantas berkenaan Geely Jiaji ini.
1. Saiz – Jiaji memiliki panjang 4706mm, lebar 1909mm dan tinggi 1690mm. Jarak antara roda juga amat besar iaitu pada 2805mm. Dari segi saiz, Jiaji ini sebenarnya lebih besar dari Exora dari segi lebar dan panjang. Maka tidak hairanlah ia lebih berat pada 1620kg bagi versi automatik. Saiz ini sebenarnya menghampiri Toyota Innova.
2. Platform – sama seperti Exora yang dibina berasaskan platform sedan, platform Jiaji diasaskan dari platform yang sama dengan sedan Geely Borui GE. Platform ini khusus dibangunkan untuk rekaan pacuan roda depan dengan enjin berada di depan cesi. Sama seperti Borui, cesi ini menyokong teknologi elektrifikasi dan hibrid.
3. Trenkuasa – bagi pasaran China, terdapat 4 pilihan enjin dengan 3 pilihan transmisi. Bagi unit manual 6 kelajuan, ia akan digabungkan dengan pilihan enjin 1.5 TGDi 3 silinder (sama seperti X50 flagship) yang menghasilkan 174 kuasa kuda dan 255 Nm tork. Bagi versi 6 kelajuan automatik, ia akan digandingkan dengan enjin 1.8 TGDi yang menghasilkan 181 kuasa kuda dan 300Nm tork
4. Hibrid – bagi versi yang lebih bersih, Jiaji ditawarkan dengan 2 pilihan hibrid samaada 1.5TGDi yang digabungkan dengan sistem hibrid MHEV (mild hybrid 48Volt) dengan motor elektrik yang akan membantu Jiaji membuat pecutan serta memberikan penggunaan petrol sekitar 16.9km per liter.
Bagi unit plug-in hybrid, enjin 1.5TGDi ini akan digandingkan dengan sistem hibrid yang lebih canggih yang memberikan pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 56km. Penggunaan petrol pula adalah sekitar 62.5km per liter dengan sistem bateri penuh. Semua varian hibrid akan menggunakan transmisi 7 kelajuan dengan klac berkembar.
5. Rekaan Luar – berbeza dengan MPV jepun yang gemarkan penggunaan pintu gelungsur, Jiaji tampil dengan rekaan 5 pintu konvensional. Terdapat 3 pilihan susunatur tempat duduk samaada 2+2+2 atau 2+3+2 atau 2+2+3. Kusyen barisan tengah boleh direbahkan sehingga 165 darjah, kusyen bahagian depan boleh dianjakkan ke depan dengan butang dan susunan kusyen boleh dilipat berdasarkan keperluan pengguna
6. Teknologi pemanduan pintar – untuk pasaran China, Jiaji telah dipasang dengan Advance Driver Assist System yang merangkumi Intelligent Cruise Control (boleh mengikuti kereta depan dalam keadaan berselekoh), Pemanduan Adaptif sehingga kelajuan 150km/j, Lane Keep Assist, Auto Park Assist, dan Intelligent High Beam Control
7. Aspek Keselamatan – ADAS pada Jiaji juga merangkumi pelbagai ciri tambahan seperti Sistem Amaran Titik Buta, Amaran Pra-Perlanggaran Depan dan Belakang, Sistem Brek Pra-Perlanggaran dengan fungsi pejalan kaki, sistem amaran lintasan belakang (RCTA), sistem amaran halaju, Lane Change Assistant, dan 8 beg keselamatan udara
8. Ciri Unik – bergantung pada varian, Jiaji akan ditawarkan dengan ciri cermin suria, paparan meter HUD, skrin dengan saiz 12.3 inci yang menyokong Geely Smart Ecosystem (GKUI) yang berupaya menerima arahan suara, unit penyaman udara untuk barisan belakang dengan fungsi air ionizer, dan pintu kargo dengan bantuan kuasa