Pandu Uji

PERODUA ALZA, KERETA TERBAIK BAWAH RM 80K? 8 BULAN MENUNGGU?

Perodua Alza telah diperkenalkan pada tahun 2009 dengan pengeluarannya diteruskan sehingga pada tahun 2022, ia merupakan satu tempoh yang sangat lama dalam ekosistem automotif dengan kebanyakan kereta akan dihasilkan sekitar 4-5 tahun sahaja sebelum digantikan dengan model yang lebih baru.

Platform lama yang diasaskan daripada Daihatsu Boon Luminas dengan enjin 1500cc 4 silinder DVVT yang menjana 107 kuasa kuda dan 141Nm tork akhirnya menerima pengganti yang lebih moden pada tahun 2022.

1. Platform Baru – Alza baru menggunakan platform serba baru yang dikongsikan dengan Toyota Veloz dan juga Toyota Vios serba baru dengan jarak antara roda ialah 2750mm berbandung 2620mm pada Vios. Antara elemen yang sama termasuklah mounting engine point, rekaan underbody, enjin, transmisi dan juga posisi kusyen.

Walaupun sarat dengan pelbagai teknologi terkini, berat Alza 2023 varian AV hanyalah 1170kg sahaja atau 10kg lebih berat berbanding dengan model yang lama. Platform baru juga mengetengahkan konsep CASE yang merupakan singkatan kepada Connected, Automated Driving, Sharing, Electrification

2. Trenkuasa baru – enjin lama digantikan dengan enjin aluminium sepenuhnya dengan kod 2NR-VE Dual VVT-i yang menjana 105hp dan 138Nm tork. Dari segi angka, ia nampak lebih rendah berbanding dengan enjin lama.

Namun enjin baru ini lebih cekap tenaga dengan penggunaan sistem pemasaan injap berkembar dual VVT-i, nisbah mampatan yang lebih tinggi pada 11.5:1 dan juga sistem Start/Stop bagi meminimakan penggunaan bahan api. 3 mode pemanduan turut ditawarkan samaada ECO, Normal ataupun Sport bergantung pada mood anda

Transmisi Dual Mode CVT yang sama seperti Ativa juga turut digunakan dengan penawaran ciri 7 kelajuan Shiftronic samaada anda mahu mengawal sendiri gear (Manual Mode) ataupun Sport Mode. Namun dalam Manual Mode RPM gear akan ditukar secara automatik pada 6000 RPM bagi mengelakkan risiko

3. Suspensi – sama seperti model ekonomi yang lain, platform DNGA-B ini menggunakan topang McPherson di roda depan dan torsion beam di roda belakang namun dengan bar anti oleng terbina dalam. Sistem brek juga dipertingkatkan pada model AV dengan 4 brek cakera pada roda belakang

Apabila digabungkan dengan tayar 195/60 dan rim 16 inci, Alza baru ini memang ternyata lebih sedap melayan selekoh berbanding dengan model lama. Kalau pakai tayar mahal, mungkin lebih senyap dan melekat di selekoh

4. Lampu – paling best bagi ciri luaran Alza ialah penggunaan lampu depan LED dengan reflektor dan lengkap dengan teknologi Adaptive Driving Beam. Lampu kabus turut diberikan teknologi LED selain lampu penunjuk arah jalan menggunakan lampu sequential.

Berbalik pada lampu depan Adaptif, lampu depan akan sentiasa cuba menggunakan lampu tinggi sepanjang masa, namun akan merendahkan lampu sebelah kanan sekiranya ia mengesan kehadiran kenderaan lain dari arah depan

Malah lampu kiri juga akan cuba menghasilkan bayang-bayang pada pemandu depan bagi mengelakkan silau. Memang ciri ini sangat menarik kerana ia ditawarkan pada Alza baru menjadikan pemanduan pada waktu malam kurang meletihkan.

Lampu ini juga menyediakan ciri Cornering Lamp, menyala di bahagian sisi sewaktu lampu isyarat membelok dinyalakan. Cuma kadangkala sensor gagal mengesan kehadiran motosikal menjadikan. Lampu belakang juga menggunakan LED termasuk lampu brek ke 3.

5. Kusyen – disusun dalam aturan 2+3+2 dengan kusyen tengah boleh dilipat dalam ratio 60:40 dan kusyen barisan ketiga boleh dilipat dalam konfigurasi 50:50. Jika semua kusyen digunakan, Alza hanya menawarkan kapasiti ruang kargo sebesar 137 liter sahaja, bertambah 54 liter dari Alza lama

Jika kusyen belakang dilipat semua, Alza menawarkan ruang sebesar 498 liter iaitu 150 liter lebih besar berbanding model lama. Apa yang penulis buat semasa pulang ke kampung ialah tolak kusyen barisan kedua ke belakang sepenuhnya untuk ruang kaki yang maksima dan pasang kerusi bayi

Kusyen belakang dilipat untuk ruang kargo yang maksima. Secara keseluruhan penulis berpuas hati dengan kontur rekaan kusyen untuk pemandu kerana selepas 5 jam memandu penulis tidak berasa lenguh mahunpun sakit belakang biarpun Alza tiada ciri stering teleskopik

6. Pengalaman Pemanduan

6.1 Kuasa enjin – sekadar cukup untuk pemanduan seharian, tapi jika anda pandu secara agresif di laluan selekoh dan berbukit maka pilihan yang tepat ialah pilih mode POWER dan kawal sendiri penukaran gear Shiftronic.

Walaupun penuh dengan barang, Alza dipandu penulis mampu melarikan diri dari E-Class 250 lama di selekoh dan kawasan berbukit. Kalau Alza lama automatik milik penulis, nak kejar Viva 850 naik bukit pun rasa nak tercirit.

6.2 Brek – varian AV datang dengan ciri brek cakera semua roda namun jika anda memandu terlalu laju (sangat laju dalam erti kata penulis) maka brek depan akan bergegar sedikit terutama jika anda pandu secara agresif. Tapi realitinya tiada orang akan pandu macam orang gila seperti penulis jika anda membawa anak

6.3 Pengendalian – lebih bagus dari Alza lama dan juga sedan milik penulis, Gabungan spring dan penyerap hentakan hanya terasa keras di bahagian belakang, lembut di depan tapi steering effort di selekoh adalah cepat dan tidak menjadikan anda mengalami understeer di selekoh

6.4 Keselesaan -Platform DNGA ini memang sedap ketika melalui jalan tidak rata, Alza tida terasa seperti membuai dan stabil. Pada masa sama jika melalui speed bump, suspensi tidak mengalami crash atau bottom out walaupun diisi dengan barang sepenuhnya

6.5 NVH – kebanyakan bunyi yang didengari oleh penulis ialah bunyi enjin ketika menjeri 6000 RPM, bunyi transmisi Dual Mode DCVT bila dipandu secara agresif dan juga bunyi tayar yang sedikit bising ketika tayar bergolek.

7. Ciri-ciri unik MPV

7.1 Penyandar kusyen barisan kedua boleh direndahkan menjadikan perjalanan lebih selesa berbanding dengan sedan. Jika anda menggunakannya sebagai 5 seater, ruang kaki adalah sangat luas

7.2 Corong penyaman udara dipasang di bahagian syiling untuk penumpang barisan kedua dan ketiga lengkap dengan paip penyejuk. Kelajuan kipas penyaman udara boleh dilaras

7.3 Jarak kelegaan permukaan jalan hanyalah 160mm, sangat rendah menjadikan pemanduan seperti sedan dan memudahkan orang tua serta kanak-kanak untuk keluar masuk

7.4 Ciri Auto Hold dengan Electric Parking Brake bagi varian AV terasa sangat berguna sewaktu dalam kesesakan. Jika digabungkan dengan sistem autocruise, anda boleh merayap dalam kesesakan jalan dengan tenang

7.5 Unit pandu uji yang diterima ditawarkan dengan ciri Android Auto yang berfungsi dengan baik berbeza dengan unit yang kami terima dulu dimana Android Auto gagal disambungkan. Ada 4 poin USB dan 2 poin USB

7.6 Ada 11 tempat letak minuman yang disediakan di seluruh kabin dari depan sampai ke belakang. Namun yang paling best ialah di bahagian depan pemandu dimana penulis boleh meletak bekas kopi untuk diminum sambil memandu

8. Aspek keselamatan – semua ciri ASA 3.0 beroperasi dengan baik termasuklah brek AEB dengan amaran yang boleh mengesan pejalan kaki pada halaju antara 4-120km/jam, Front Departure Alert, Pedal Missoperation, kamera 360 darjah, amaran titik buta, RCTA dan juga autocruise adaptif

9. Ciri-ciri yang kurang best

9.1 Tiada cup holder atau tempat untuk meletak barang di konsol tengah belakang tombol gear bagi varian AV sedangkan varian H dan X ada ciri ini

9.2 Konsol tengah Alza direka seperti Veloz iaitu sedikit tajam tanpa pelapik, apabila terkena kepala lutut ia akan menyebabkan lutut anda terasa sakit terutama apabila memandu jarak jauh

9.3 Rekaan konsol tengah adalah sama dengan Veloz, tapi Veloz akan dipasang dengan lampu kabin pada waktu malam serta di door trim. Adalah lebih baik jika ciri ini ditawarkan pada Alza melalui aksesori Gear Up.

Pada tahun 2009 iaitu 14 tahun yang lepas, penulis berpendapat Alza adalah sebuah kereta yang bagus. Kalau anda beli Alza sewaktu bujang, anda masih boleh menggunakannya selepas berkahwin dan juga selepas memiliki anak. Tak perlu pening kepala nak beli kereta baru

Anda masih boleh gunakan Alza sebagai kereta untuk 5 penumpang dengan ruang belakang luas, sebagai MPV kompak untuk membawa ibu bapa anda berjalan-jalan atau sebagai kereta utama keluarga anda selain Axia, Saga atau Bezza dijadikan kereta kedua.

Kos servis adalah sekitar RM 250 bagi servis biasa, RM 400++ ketika servis major dan paling mahal ialah RM 662 ketika jarak perjalanan mencecah 100,000km. Kalau anda nak beli hari ini, anda kena tunggu antara 8-12 bulan selepas membuat tempahan. Naya Pak Karim woi.

Google ads
Back to top button