Buletin

BIMS 2018: MITSUBISHI MIRAGE EDISI TERHAD – KINI LEBIH SPORTY

Mitsubishi Motors (Thailand) Co., Ltd. baru-baru ini memperkenalkan Mitsubishi Mirage Edisi Terhad (LE) pada acara Bangkok International Motor Show 2018.

Ia tampil dengan dua warna menarik iaitu merah metalik dan putih mutiara yang dikontraskan bersama bumbung berwarna hitam. Selain penambahbaikan pada bahagian dalaman serta luaran.

Mirage LE ditawarkan di pasaran Thailand pada harga 564,000 baht (RM69,800) seunit untuk warna merah dan 571,000 baht (RM70,880) bagi versi warna putih.

“Dengan saiz kompak dan menjadi antara kereta paling efisien di Thailand, Mirage LE disasarkan kepada golongan muda yang yakin untuk mencuba perkara baru,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors (Thailand), Morikazu Chokki.  

Jentera itu menerima sepuluh aksesori khas. Ia merangkumi lampu brek ketiga LED, lampu sisi LED dalam perumah, spoiler belakang, rim aloi bersaiz 15 inci dan pelekat yang semuanya berwarna hitam.  

Untuk ruang kabin pula, gayaannya dipertingkatkan menerusi tempat duduk sport dengan fabrik hitam/merah, tuil gear dibalut kulit dan stereng bersama kemasan krom dan hitam berkilat.

Sebagai sebuah eco-car, Mirage LE dikuasakan oleh enjin tiga silinder DOHC bersesaran 1.2 liter yang dipadankan dengan kotak gear CVT bersama ciri INC (Idle Neutral Control) dan G-Sensor.

Sistem pemasaan injap boleh ubah MIVEC terkini membolehkan kereta kompak ini mencapai penggunaan bahan api sekitar 23.8 km/L dan emisi CO2 98g/km.

Ciri standard lain yang turut dipasang termasuklah kawalan jejalah, Active Stability Control (ASC), Traction Control System (TCL), Forward Collision Mitigation System-Low Speed Range (FCM-LS) dan Radar Sensing Misacceleration Mitigation System-Forward (RMS-Forward).

GALERI

Google ads
Back to top button