
EVO BAKAL KEMBALI? BOS BAHARU MITSUBISHI BUKA MULUT…
Peminat tegar Mitsubishi akhirnya menerima sedikit bayangan harapan apabila presiden baharu syarikat itu memberi bayangan bahawa jenama Jepun tersebut masih menyimpan impian untuk menghasilkan semula model berprestasi tinggi seperti Lancer Evolution.
Perkara itu dibangkitkan ketika mesyuarat tahunan pemegang saham Mitsubishi di Jepun, apabila seorang pelabur meminta syarikat mempertimbangkan semula kebangkitan beberapa model ikonik seperti Lancer Evolution, Galant dan Diamante, susulan kemunculan semula nama Pajero tahun ini.
Walaupun tiada pengumuman rasmi dibuat, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Mitsubishi Motors, Keisuke Kishiura, mengakui model-model tersebut mempunyai nilai besar dalam sejarah syarikat.
Menurut laporan media Jepun, beliau menyifatkan Lancer Evolution, Galant dan Diamante sebagai “khazanah penting” Mitsubishi. Namun, buat masa ini syarikat belum mempunyai pelan khusus untuk menghidupkan semula model berkenaan.

Kishiura yang sudah bersama Mitsubishi selama 33 tahun turut berkata beliau mahu melihat Mitsubishi kembali menjadi pengeluar yang mampu menghasilkan kereta hebat seperti dahulu.
Kenyataan itu dianggap antara petunjuk paling hampir setakat ini mengenai kemungkinan kebangkitan semula Evo, walaupun hakikatnya ia masih jauh daripada menjadi kenyataan.
Mitsubishi pernah dikenali menerusi kejayaan dalam perlumbaan rali dunia serta sedan berprestasi tinggi sekitar era 1990-an dan awal 2000-an.
Namun kini, identiti syarikat lebih tertumpu kepada SUV, trak pikap dan model hasil kerjasama dengan rakan pakatan seperti Nissan dan Renault.
Menariknya, Kishiura juga dilihat sebagai seorang peminat kereta sebenar. Dalam sesi bersama pelabur itu, beliau mendedahkan antara kereta awal yang pernah dipandunya ialah Mitsubishi Lancer Turbo transmisi manual.
Beliau turut mengakui masih meminati pengalaman pemanduan dan menyimpan impian untuk melihat Mitsubishi kembali ke Kejuaraan Rali Dunia (WRC).
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada sebarang rancangan rasmi untuk kembali ke WRC dalam masa terdekat.
Buat masa ini, fokus utama Mitsubishi masih tertumpu kepada pengukuhan barisan SUV, model lasak, kenderaan untuk pasaran ASEAN serta pembangunan teknologi elektrifikasi.
Mitsubishi juga mahu memanfaatkan kerjasama strategik dengan Nissan dan Renault bagi mengurangkan kos pembangunan model baharu.
Dengan keadaan industri automotif semasa yang memerlukan pelaburan besar dalam teknologi EV dan elektrifikasi, pembangunan semula model seperti Lancer Evolution dilihat sebagai projek yang mahal dan berisiko tinggi.
Namun sekurang-kurangnya, buat pertama kali selepas sekian lama, peminat kini mendengar sendiri daripada ketua Mitsubishi bahawa semangat untuk menghasilkan sebuah Evo baharu masih belum benar-benar padam.






