Buletin

TOYOTA LAND CRUISER CV – TIGA PINTU, ENJIN DIESEL 2.8L, MEMANG PADU!

Toyota Land Cruiser yang selama ini dikenali sebagai antara model SUV paling lasak kini ditawarkan sebagai kenderaan komersial ringan.

Lebih menarik lagi, jentera tersebut ada didatangkan dalam bentuk tiga pintu bersama tapak roda lebih pendek. Sekali pandang, nampak macam Rav4 tiga pintu pun ada. Memang cool.

Biarpun begitu, Land Cruiser tersebut tetap dipasang dengan enjin turbo diesel bersesaran 2.8 liter yang sama digunakan oleh Land Cruiser standard.

Dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan dan keupayaan menunda sehingga tiga tan, ia memang sebuah jentera yang boleh pergi ke mana sahaja.

Berbanding model biasa, ruang tempat duduk belakang dikosongkan dan dipasang dengan lantai kesat. Bahagian kargo dan tempat duduk hadapan dipisahkan dengan jaring besi.

Bergantung kepada varian, pengguna boleh mengakses ruang kargo sama ada menerusi pintu belakang atau sisi.

Model tapak roda pendek (SWB) menawarkan ruang kargo seluas 1,574 liter. Manakala versi tapak roda panjang (LWB) pula memiliki n 2,216 liter. Dari segi berat, SWB boleh membawa beban sehingga 593kg dan LWB, 756kg.

Kenderaan komersial tersebut dipasang dengan rim besi bersaiz 17 inci, tempat duduk fabrik, kawalan jelajah dan sistem audio bersama enam unit pembesar suara. Versi LWB ditambah dengan sambungan USB dan Aux-in.  

“Land Cruiser ini menambah lebih nilai kepada rangkaian kenderaan komersial kami, di samping trak pikap Hilux dan van Proace. Kami yakin jentera ini akan mendapat sambutan hangat daripada pengguna,” kata Pengurus Kenderaan Komersial Ringan Toyota di UK, Gareth Matthews.

Di pasaran UK, Land Cruiser SWB ditawarkan pada harga bermula £27,546 (RM152,000). Manakala versi LWB berharga £28,509 (RM157,300). Sudah boleh dibeli sekarang, penghantaran dijangka bermula Julai depan.

Google ads
Back to top button