
PAJERO BAKAL MUNCUL, GUN CESI TRITON
Selepas sekian lama menyepi daripada pasaran global, Mitsubishi akhirnya dilihat semakin hampir untuk menghidupkan semula Pajero, atau dikenali sebagai Montero di beberapa pasaran termasuk Amerika Utara.
Berdasarkan laporan terkini, Mitsubishi telah berkongsi perancangan awal mengenai model Montero baharu kepada rangkaian pengedarnya di Amerika Utara. Walaupun syarikat masih belum mengesahkan pelancarannya secara rasmi di rantau itu, langkah tersebut menunjukkan bahawa Mitsubishi sedang menilai potensi untuk membawa kembali SUV ikonik berkenaan ke pasaran Amerika Syarikat dan Kanada.
Apa yang lebih menarik ialah Pajero generasi baharu dijangka dibangunkan menggunakan platform ladder-frame yang sama seperti Mitsubishi Triton generasi terkini. Penggunaan casis jenis ini membolehkan SUV tersebut menawarkan tahap ketahanan dan kemampuan off-road yang lebih tinggi sekali gus mengembalikan identiti asal Pajero sebagai kenderaan utiliti lasak.
Dari segi reka bentuk, Pjero baharu ini dijangka menampilkan penampilan lebih berkotak dan gagah dengan kelegaan tanah yang tinggi serta sistem pacuan empat roda yang dipertingkatkan.
Pendekatan ini dilihat sebagai usaha Mitsubishi untuk bersaing dalam segmen SUV off-road premium yang turut menempatkan model seperti Toyota Land Cruiser dan Ford Everest.
Walaupun spesifikasi rasmi masih belum diumumkan, laporan menyebut bahawa Pajero baharu berkemungkinan menggunakan enjin diesel turbo 2.4 liter yang turut digunakan pada Triton.
Mitsubishi juga dijangka memperkenalkan varian plug-in hybrid (PHEV) bagi memenuhi permintaan terhadap kenderaan yang lebih cekap dan mesra alam, memanfaatkan pengalaman syarikat dalam pembangunan teknologi elektrifikasi menerusi Outlander PHEV
Mitsubishi sebelum ini telah mengesahkan bahawa Pajero baharu akan diperkenalkan sebagai SUV flagship global syarikat pada musim luruh 2026. Namun begitu, keputusan sama ada model tersebut akan dipasarkan di Amerika Utara masih belum dimuktamadkan dan bergantung kepada strategi pemasaran syarikat pada masa akan datang
Kemunculan semula Pajero sememangnya dinantikan ramai peminat automotif di seluruh dunia. Dengan gabungan platform ladder-frame, teknologi moden dan kemungkinan penawaran sistem PHEV, SUV legenda ini berpotensi mengembalikan kegemilangannya sebagai salah satu model paling ikonik yang pernah dihasilkan oleh Mitsubishi.







