
MITSUBISHI DELICA D:5 LARIS DI JEPUN SAMPAI PECAH REKOD BERTAHUN!
Mitsubishi Motors Corporation mengumumkan jualan domestik bagi van serba guna Delica D:5 telah mencapai angka 26,379 unit bagi tahun fiskal 2025.
Pencapaian ini mengatasi rekod tahun kewangan 2007, sekali gus menetapkan jumlah jualan tertinggi dalam sejarah model tersebut sejak dilancarkan pada Januari 2007.
Penerimaan positif terhadap Delica D:5 didorong oleh ciri produk yang unik sebagai sebuah all-round minivan.
Delica D:5 menggabungkan keupayaan off-road sebuah SUV dengan aspek keselesaan serta fungsi praktikal sebuah van mini.
Trend gaya hidup yang kini lebih meminati SUV dan aktiviti luar turut menyumbang kepada peningkatan permintaan tersebut.
Evolusi Berterusan Sejak 2007

Mitsubishi Motors sentiasa melakukan penambahbaikan berterusan untuk mengekalkan daya tarikan Delica D:5.
Antara langkah penting yang telah diambil termasuklah pengenalan enjin diesel bersih pada tahun 2013 serta perubahan besar pada reka bentuk dan rangkaian kuasa pada tahun 2019.
Strategi penambahbaikan ini membolehkan Delica D:5 terus mencatatkan rekod jualan tahunan baharu secara konsisten bermula dari tahun 2020 sehingga kini.
Berdasarkan data daripada Persatuan Pengedar Automobil Jepun, model ini kekal menjadi pemacu utama jualan domestik Mitsubishi Motors.

Sejarah dan Warisan Siri Delica
Sejak model pertama diperkenalkan pada tahun 1968, siri Delica mendapat kepercayaan pelanggan sebagai kenderaan yang mampu membawa penumpang dan barangan ke destinasi dengan selamat dalam pelbagai keadaan jalan.
Evolusi ini bermula daripada generasi pertama kemudian diikuti oleh Delica Star Wagon bagi generasi kedua dan ketiga, Delica Space Gear bagi generasi keempat dan kini Delica D:5 bagi generasi kelima.
Secara keseluruhan, jualan terkumpul bagi semua generasi Delica telah mencecah kira-kira 1,400,000 unit.
Khusus untuk model Delica D:5, sebanyak 310,000 unit telah terjual sepanjang 19 tahun ia berada di pasaran.
Enjin 2.2L 4N14 Diesel

Delica D:5 dikuasakan oleh enjin 2.267 liter diesel bersih 4N14 4 silinder DOHC 16 injap dengan pengecas turbo dan intercooler.
Rangkaian kuasa ini menghasilkan 145 ps pada 3,500 rpm dan tork 380 Nm pada 2,000 rpm.
Enjin dengan sistem suntikan common rail DI-D ini mempunyai nisbah mampatan 14.4 serta tangki bahan api berkapasiti 64 liter.
Bagi sistem penghantaran kuasa, Delica D:5 dilengkapi dengan transmisi automatik 8 kelajuan Sport Mode A/T.

Kuasa dari enjin disalurkan ke sistem pacuan empat roda melalui teknologi Super All-Wheel Control atau S-AWC milik Mitsubishi Motors.
Sistem kawalan dinamik bersepadu ini memastikan kenderaan mempunyai keupayaan off-road yang tinggi serta kestabilan pengendalian cemerlang dalam pelbagai keadaan cuaca atau permukaan jalan yang mencabar.
Harga dan Varian Mitsubishi Delica D:5
Model ini ditawarkan dalam beberapa gred utama dengan pilihan konfigurasi tempat duduk untuk 7 atau 8 orang penumpang.
- G: 4,510,000 yen (RM112,299)
- P: 4,944,500 yen (RM123,118)
- G-Power Package: 4,746,500 yen (RM118,187)















