Buletin

BUGATTI VEYRON MEMANG HEBAT, TAPI SIAPA VEYRON?

 

Bugatti Veyron. Nama yang sudah lama disebut-sebut sebagai penanda aras kereta hiper moden.

Kelajuan melebihi 400 kilometer sejam (km/j), enjin W16 dengan empat turbo dan kejuruteraan yang masih dianggap luar biasa walaupun sudah lebih dua dekad berlalu sejak pelancarannya.

Di sebalik nama hebat itu, siapa sebenarnya Veyron? Nama itu bukan dicipta sembarangan, ia datang daripada seorang individu yang legasinya sangat dekat dengan DNA Bugatti.

Pierre Veyron dilahirkan di Perancis pada tahun 1903.

Veyron belajar dalam bidang kejuruteraan, minat terhadap dunia perlumbaan mendorong beliau menyertai acara-acara mendaki bukit dan perlumbaan ketahanan di sekitar Eropah pada lewat 1920-an.

Tahun 1930 menyaksikan beliau menang dalam kelas 1500cc di Grand Prix Geneva, dan prestasi itu menarik perhatian pengasas Bugatti sendiri, Ettore Bugatti.

Veyron bukan sekadar pelumba. Keupayaannya membaca jentera, memberikan maklum balas teknikal, dan terlibat secara langsung dalam pembangunan kereta menjadikannya aset penting di Molsheim.

Ettore Bugatti merekrut beliau sebagai pemandu ujian dan pelumba separuh masa pada tahun 1932, dan sepanjang 1930-an, Veyron aktif memandu jentera Bugatti seperti Type 51 dan Type 57 dalam perlumbaan besar di Eropah.

Kemuncak kerjayanya tiba pada Le Mans 1939, ketika beliau dan Jean-Pierre Wimille menjuarai perlumbaan 24 jam itu dengan jentera Bugatti Type 57C Tank.

Kemenangan tersebut bukan sahaja bermakna secara teknikal, ia juga menjadi perlumbaan terakhir sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua, dan menjadi penutup simbolik kepada era gemilang perlumbaan Bugatti.

Selepas perang, Pierre Veyron berundur daripada dunia perlumbaan dan menumpukan hidup kepada kejuruteraan dan keluarga.

Namun, sumbangannya kepada jenama Bugatti kekal relevan. Apabila Bugatti ingin menghidupkan semula jenama ini dengan model kereta hiper revolusioner, jawapannya kembali kepada sejarah iaitu Veyron.

Lahir pada awal 2000-an, Bugatti Veyron 16.4 bukan sekadar kereta. Ia adalah projek gila dengan kuasa lebih 1,000 ps dari enjin W16 empat turbo dan kelajuan tertinggi lebih 400 km/j.

Veyron menjadi manifestasi sebenar semangat Bugatti iaitu inovasi tanpa kompromi, dan kesempurnaan dalam setiap perincian, prinsip yang pernah dipegang teguh oleh Pierre Veyron sendiri.

Hari ini, nama Veyron telah menjadi legenda.

Di sebalik angka dan rekod, ia sebenarnya membawa nama seorang manusia yang pernah berada di tengah-tengah dunia perlumbaan dan pembangunan Bugatti, seorang pelumba, jurutera, dan penggerak dalam sejarah jenama itu.

Google ads
Back to top button