
BUGATTI W16 MISTRAL: KERETA BUMBUNG TERBUKA PALING LAJU DI DUNIA!
Semasa Bugatti Veyron diperkenal pada 2005, dunia automotif gegak gempita dengan kehadirannya.
Masakan tidak, Veyron muncul sedekad selepas EB 110 ditamatkan. Reka bentuknya unik dengan kelajuan tertinggi mencecah 408.84 kilometer sejam (km/j) sebelum tampil lebih pantas dan secara rasmi pada 2010.
Mencatat rekod sebagai kereta paling laju di dunia nampaknya sudah menjadi tradisi buat Bugatti.
Tiga model sudah memahat sejarah iaitu Veyron 16.4 Super Sport World Record Edition, Veyron 16.4 Grand Sport Vitesse World Record Edition dan Chiron Super Sport 300+.
Kini ada satu lagi model yang masuk senarai, W16 Mistral World Record Car dengan kelajuan 431.07 km/j. Rekod terbaru dibuat di ATP Automotive Testing Papenburg GmbH, Jerman.
Seperti yang dikatakan, episod rekod moden bermula pada Jun 2010 dengan Veyron 16.4 Super Sport mencatat kelajuan 431.07 km/j.
Rekod itu disambung Chiron Super Sport 300+ pada 2019 dengan kelajuan 490.48 km/j. Di antara tempoh tersebut ada lagi cabaran menarik.
Tiga tahun selepas Veyron 16.4 Super Sport, Veyron 16.4 Grand Sport Vitesse dipecut sehingga 408.8 km/j dan membuka sejarah baharu untuk rekod bumbung terbuka.
Rekod bumbung terbuka sekali lagi dicipta dan kali ini pada 9 November di hadapan tetamu jemputan, Ketua Pegawai Eksekutif Bugatti Rimac, Matte Rimac, barisan pengurusan kanan dan semestinya kru teknikal.
Pemandu rasmi atau Bugatti Pilote Officiel dan pemenang 24 Jam Le Mans, Andy Wallace diberi tugas untuk mengemudi W16 Mistral World Record Car.
Beliau bermula dengan memanaskan tayar prestasi tinggi buatan khas di dalam pusingan pertama.
Kereta dipecut sehingga 200 km/j ke bahagian condong litar dan kelajuan ditingkatkan sebelum kuasa penuh dihamburkan pada laluan lurus dan seterusnya mencatat rekod baharu.
Di bawah pemantauan SGS-TÜV Saar GmbH, pencapaian rekod kelajuan tertinggi dunia bagi kereta bumbung terbuka disahkan secara rasmi dengan kelajuan 453.91 km/j.
Di antara individu yang menjadi saksi di dalam rekod baharu ini ialah pemilik W16 Mistral World Record Car sendiri dan kali pertama dalam sejarah Bugatti.
Tidak hanya menjadi saksi di luar, beliau juga duduk di sebelah Andy Wallace untuk satu lagi pecutan di litar dan hampir mencapai kelajuan yang sama.
Aksi kedua itu berkemungkinan mencatatkan rekod tidak rasmi untuk sesi penumpang terpantas pernah dilakukan.
Ada lagi kisah menarik. Pelanggan istimewa ini bukan sahaja mahukan Bugatti tetapi Bugatti yang langka iaitu setiap unit kereta Bugatti World Record.
Veyron 16.4 Super Sport, Veyron 16.4 Grand Sport Vitesse World Record Edition, Chiron Super Sport 300+ dan terbaru W16 Mistral World Record kini berada di dalam senarai The Singh Collection.
Warna Jet Orange merupakan kesinambungan daripada model rekod dunia terdahulu.
Warna jingga dipadan bersama badan karbon hitam dan warna yang terang itu meriasi perkakasan dalaman.
Untuk makluman, Bugatti W16 Mistral World Record berharga 14 juta euro (RM65.96 juta).













