CHIRON VS CHIRON – INI MUNGKIN REKOD KEMALANGAN TERMAHAL TAHUN INI
Dua buah Bugatti Chiron terlibat dalam satu kemalangan sewaktu menyertai Bugatti Grand Tour Morocco. Ia mungkin dipandu oleh hartawan yang kaya raya tapi belum tentu memiliki teknik pemanduan yang baik. Hasilnya ialah perlanggaran antara satu sama lain sewaktu cuba memotong sebuah trak. Nampaknya wang yang banyak belum menjadikan anda pemandu yang cekap.
Kejadian berlaku hari Isnin lepas di jalan raya yang menghubungkan Tangier dan Tetouan di Morocco. Video yang dirakam oleh pengguna jalan raya lain menunjukkan trio Bugatti sedang cuba memotong sebuah trak.
Kalau tengok pada keadaan jalan tu ia bukanlah tempat yang sesuai untuk memandu laju apatah lagi memotong. Tambahan pula Bugatti Chiron ni agak lebar dan….sangat mahal.
Nak cerita lebih-lebih pun rasanya baik tengok video je. Jelas sekali kedua-dua pemandu yang memandu Chiron Super Sport dan Chiron Pur Sport ni jenis yang tidak menyabar dan asyik nak memotong je kerjanya. Hasilnya ialah perlanggaran yang bakal menelan jutaan RM untuk dibaikpulih.
Chiron Super Sport terbabas ke bahagian tepi jalan manakala Chiron Pur Sport kekal di atas jalan tapi dalam keadaan yang tidak sepatutnya. Pemandu trak yang malang turut terbabas dalam usaha untuk mengelak aksi tidak matang pemandu-pemandu Bugatti ni.
Kesemua pemandu dan penumpang Chiron terselamat . Nasib pemandu trak tidak diketahui tapi diharapkan tidak mengalami apa-apa kecederaan dan mendapat ganti rugi yang sewajarnya.
Lain kali kalau pandu hypercar jangan la dok buat kerek sangat. Bila dan berlaku kemalangan macam ni siapa yang rugi.