Buletin

PORSCHE LEPAS SAHAM BUGATTI RIMAC!

Era Bugatti di bawah naungan Kumpulan Volkswagen akhirnya berakhir selepas hampir dekad. Menguruskan jenama legasi yang ikonik adalah satu perkara sukar dan tersalah langkah boleh merosakkannya.

Sepanjang pemilikan, Kumpulan Volkswagen telah menjaga nama Bugatti dengan baik dan mengangkatnya ke aras lebih tinggi.

Bugatti Veyron dengan enjin W16 berjaya mencetuskannya dan akan sentiasa dikenang.

Dunia automotif hari ini sedang menjalani peralihan dan penting untuk sesebuah jenama menguruskannya dengan baik.

Porsche telah mencapai persetujuan untuk menjual pegangan ekuiti miliknya dalam Bugatti Rimac dan Rimac Group kepada sebuah konsortium yang diterajui oleh HOF Capital iaitu firma pelaburan yang berpangkalan di New York.

Sumber perlu digunakan dengan sebaik mungkin dan boleh difahami mengapa tindakan terbaru ini diambil.

Perjanjian transaksi yang berkaitan telah ditandatangani pada 24 April 2026. 

Struktur Pemilikan dan Transaksi Baharu

Porsche dan Rimac Group sebelum ini telah menubuhkan Bugatti Rimac sebagai usaha sama pada tahun 2021 untuk menjadi entiti induk kepada jenama ikonik Bugatti.

Dalam usaha sama tersebut Porsche memiliki pegangan sebanyak 45 peratus manakala Rimac Group sebanyak 55 peratus saham. 

Selain itu Porsche juga memegang 20.6 peratus pegangan dalam Rimac Group.

Langkah terbaru menyaksikan Porsche akan melupuskan sepenuhnya pegangan ekuiti dalam Bugatti Rimac dan Rimac Group kepada konsortium kendalian HOF Capital.

Konsortium ini turut merangkumi BlueFive Capital sebagai pelabur terbesar bersama sekumpulan pelabur institusi dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Selepas transaksi selesai, Rimac Group akan mengambil alih kawalan penuh Bugatti Rimac dan membentuk perkongsian strategik dengan HOF Capital serta BlueFive Capital bagi menyokong pertumbuhan berterusan.

HOF Capital juga akan menyertai Rimac Group sebagai pemegang saham terbesar bersama-sama dengan Mate Rimac yang merupakan pengasas Rimac dan Ketua Pegawai Eksekutif Bugatti Rimac.

Tertakluk kepada pelepasan kawal selia transaksi ini dijangka akan selesai sepenuhnya sebelum akhir tahun 2026.

Pihak yang terlibat telah bersetuju untuk merahsiakan terma kewangan transaksi kecuali jika pendedahan diperlukan di bawah obligasi pelaporan kewangan yang terpakai.

Visi Masa Hadapan dan Fokus Perniagaan

Ketua Pegawai Eksekutif Porsche AG iaitu Dr Michael Leiters menyatakan bahawa penubuhan usaha sama Bugatti Rimac bersama Rimac Group telah berjaya meletakkan asas bagi masa hadapan Bugatti.

Beliau menambah bahawa sebagai pelabur peringkat awal dalam Rimac Group, Porsche telah memberikan sumbangan besar dalam membangunkan Rimac Technology menjadi syarikat teknologi automotif Tier 1 yang mantap.

Melalui penjualan pegangan ini Porsche menunjukkan komitmen untuk memberikan fokus kepada perniagaan teras syarikat tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Mate Rimac dan pasukannya atas kerjasama yang membina dan penuh kepercayaan sepanjang tahun tahun kebelakangan ini.

Mate Rimac selaku Ketua Pegawai Eksekutif Bugatti Rimac pula menegaskan bahawa Porsche telah menjadi rakan kongsi yang sangat penting dan mereka amat menghargai peranan Porsche dalam menubuhkan Bugatti Rimac.

Dengan asas kukuh yang disediakan melalui sokongan tersebut syarikat kini mempunyai struktur yang membolehkan pelaksanaan visi jangka panjang dilakukan dengan lebih pantas.

Pihak syarikat juga menaruh harapan tinggi terhadap kerjasama dengan rakan kongsi baharu mereka.

Kenyataan Pelabur Baharu

Hisham Elhaddad yang merupakan Pengasas Bersama dan Rakan Pengurus HOF Capital menyatakan bahawa Bugatti telah dikenali lebih dari satu abad sebagai jenama yang menggabungkan warisan dan inovasi pada tahap tertinggi.

Beliau bangga dapat bekerjasama dengan Mate Rimac dan pasukannya untuk membentuk lembaran baharu dengan mengimbangi pertumbuhan yang berdisiplin serta tradisi kehalusan binaan dan keaslian yang tiada tandingan.

Hazem Ben Gacem iaitu Pengasas dan Ketua Eksekutif BlueFive Capital pula menyifatkan Bugatti sebagai simbol kecintaan mendalam automotif yang lahir daripada usaha Ettore Bugatti dalam menggabungkan keindahan dan prestasi.

Beliau menekankan bahawa BlueFive Capital melihat peluang ini lebih daripada sekadar transaksi kewangan dan bersedia bekerjasama dengan seluruh pasukan Bugatti Rimac bagi menghargai legasi tersebut untuk generasi akan datang.

Ringkasan Pelepasan Saham Porsche

  • Porsche melupuskan sepenuhnya 45 peratus pegangan dalam Bugatti Rimac dan 20.6 peratus dalam Rimac Group.
  • Pembeli terdiri daripada konsortium antarabangsa diterajui HOF Capital bersama BlueFive Capital.
  • Rimac Group akan mengambil alih kawalan terhadap Bugatti Rimac.
  • Mate Rimac kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bugatti Rimac.
  • HOF Capital menjadi pemegang saham terbesar dalam Rimac Group bersama Mate Rimac.
  • Porsche akan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan teras mereka.
Google ads
Back to top button