Buletin

PEUGEOT 5008 – RM159,888

Sempena pembukaan pusat 3S Peugeot Johor Bahru, pengedar kenderaan jenama Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) secara rasminya melancarkan model MPV, Peugeot 5008 baru-baru ini. 

peugeot-5008-RM159,888-mekanika (1)

MPV premium itu ditawarkan pada harga RM159,888 seunit (di atas jalan termasuk insurans) untuk pelanggan di Semenanjung Malaysia sahaja.

5008 dikuasakan oleh unit enjin turbo bertekanan tinggi bersesaran 1.6 liter bersama sistem pemasaan injap boleh ubah. Ia berupaya menjana kuasa mencecah 165PS @ 6,000rpm dan tork puncak 240Nm @ 1400rpm – 4250rpm dengan penjimatan bahan api yang sewajarnya.  

peugeot-5008-RM159,888-mekanika (5)

Sebagai sebuah kenderaan keluarga, aspek keselamatan tidak dikompromi. Justeru, 5008 dilengkapi barisan sistem keselamatan termasuklah enam beg udara, Electronic Stability Program (ESP), Anti-Skid Regulator (ASR), Dynamic Stability Control (DSC), dan Hill Start Assist. Gabungan sistem keselamatan aktif dan pasif yang komprehensif itu membolehkan 5008 menerima penarafan lima bintang oleh pihak Euro NCAP.

peugeot-5008-RM159,888-mekanika (9)

MPV berkapasiti tujuh tempat duduk tersebut menggabungkan aspek keselesaan dan teknologi ke dalam kabinnya. Paparan HUD (Head Up Display) berwarna membolehkan pemandu mengetahui maklumat kelajuan dan kawalan jelajah dengan pantas.

Tempat duduk pemandu pula boleh diubah secara elektrik sehingga lapan cara bagi mendapatkan posisi pemanduan yang paling selesa. Mencari jalan juga semakin mudah apabila 5008 dibekalkan navigasi pada skrin warna bersaiz tujuh inci.  

peugeot-5008-RM159,888-mekanika (2)

Penumpang belakang boleh menikmati sistem multimedia bersepadu yang didatangkan menerusi dua skrin bersaiz tujuh inci. Skrin tersebut dipasang pada perehat kepada tempat duduk hadapan. Ia mempunyai dua penyambung RCA input dan disertakan bersama dua fon kepala dengan ketersambungan Bluetooth.

Tidak perlu bimbang ketika hendak memarkir 5008. MPV itu dilengkapi sistem Peugeot Park Assist dengan bantuan audio visual pada bahagian hadapan dan belakangnya. Tidak cukup? Satu paparan kamera undur berwarna turut disediakan.

peugeot-5008-RM159,888-mekanika (6)

Bagi meningkatkan aspek praktikalitinya, tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat dan mampu menawarkan ruang kargo seluas 2.506 liter. Jadi anda boleh mengangkut apa jua barang yang besar dengan mudah.

5008 didatangkan dalam lima warna menarik seperti coklat, biru, kelabu dan putih. Demi memberi ketenangan fikiran kepada pemiliknya, 5008 hadir bersama jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan, khidmat bantuan Peugeot 24 jam, akses percuma ke Peugeot Lounge di Lapangan Terbang Subang dan keahlian Peugeot Privilege.

peugeot-5008-RM159,888-mekanika (4)

Maklumat lanjut mengenai Peugeot Malaysia, sila layari laman web:  http://www.peugeot.com.my.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button