508 PSE. JENTERA PEUGEOT PALING POWER. 360PS, 5 MODE PEMANDUAN, 0-100KM/J 5.2 SAAT
Peugeot baru sahaja melancarkan divisyen Peugeot Sport Engineered (PSE) menerusi pengenalan model plug-in hybrid, 508 PSE.
Mula diperkenalkan sebagai model konsep pada tahun lalu di Geneva, jentera baharu itu tampil sebagai sebuah liftback dan wagon lima pintu.
Apa yang lebih menarik, 508 PSE merupakan kereta paling berkuasa pernah Peugeot hasilkan setakat ini.
Liftback tersebut menawarkan kuasa 360PS dan tork setinggi 520Nm. Kuasa itu dijana oleh rangkaian kuasa plug-in hybrid yang digabungkan bersama enjin turbo 1.6 liter dan dua motor elektrik pada setiap gandar.
Kuasa itu disalurkan ke sistem pacuan empat roda melalui transmisi lapan kelajuan automatik.
Hasilnya, 508 PSE mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 5.2 saat. Peugeot mendakwa kelajuan 80-119km/j pula hanya memakan masa 3 saat dengan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250km/j.
Penggunaan bahan api masih menjimatkan iaitu sekitar 21km bagi setiap liter petrol.
508 PSE menawarkan lima mode pemanduan termasuklah elektrik yang membolehkannya bergerak sejauh 42km dalam keadaan cukup senyap dan mematikan enjin pada kelajuan sehingga 135km/j. Mode Comfort pula melembutkan talaan suspensi untuk pemanduan lebih selesa.
Mode hibrid berfungsi memilih operasi enjin dan kuasa elektrik secara automatik untuk memaksimumkan penjimatan bahan api.
Jika mode Sport dipilih, pemandu dapat merasai stereng, suspensi dan pendikit akan menjadi lebih agresif, bunyi enjin palsu juga turut dihasilkan. Ketika berada di atas laluan licin, pilih sahaja mode 4WD untuk cengkaman yang optimum.
Bateri berkapasiti 11.5kWh yang tidak mengorbankan ruang kabin boleh dicaj penuh dalam masa kurang 7 jam apabila menggunakan soket biasa. Namun, tempoh mengecas dapat disingkatkan menjadi kurang dua jam jika kotak pengecaj 7kW digunakan.
Hadir dalam pilihan warna kelabu, putih mutiara dan hitam bersama kemasan hijau terang, 508 PSE dipasang dengan bodykit aero yang merangkumi winglet hadapan dan diffuser di belakang.
Penampilannya diserlahkan lagi dengan penggunaan rim bersaiz 20 inci yang dibalut tayar Michelin PS4S.
Ruang kabin masih mengekalkan rekaan i-Cockpit yang sama seperti 508 biasa, tetapi lebih mewah. Tempat duduk serta kabin dibalut dengan kemasan kulit Nappa dan Alcantara.
Ia juga dipasang dengan sistem infohibur bersama skrin sentuh bersaiz 10 inci, sistem audio premium Focal, paparan head-up dan fungsi urutan pada kerusi pemandu.
508 PSE turut dilengkapi sistem bantuan pemandu seperti brek kecemasan automatik, Night Vision, Lane Departure Warning, kawalan jelajah adaptif dan Stop & Go.
Jentera itu dijangka berada di pasaran Eropah pada separuh pertama 2021.
- BACA: PEUGEOT 3008 2020, OBJEK SENI ATAU SUV?
- BACA: KERETA SPORT YANG PELIK – PEUGEOT OXIA
- BACA: PEUGEOT EXPERT SPORT EDITION – NAMPAK JAHAT KAN?
- BACA: PARKIR SESUKA HATI, PEUGEOT 308 DIKEPUNG TROLI SUPERMARKET
GALERI