Pandu Uji

PEUGEOT 5008, BESAR & PUAS HATI. PADAN DENGAN HARGA

Jika anda belum membaca rebiu pandu uji kami berkenaan dengan Peugeot 3008, anda boleh baca di SINI. Sekali pandang, agak sukar bagi anda untuk mencari kelaianan antara model 3008 dengan 5008 kerana rekaan depan, sisi dan belakang boleh dikatakan hampir 90% sama.

Malah kedua-dua model dibangunkan di atas platform yang sama iaitu platform PSA EMP2 yang turut digunakan oleh model sedan iaitu model 508. Dari segi sejarah, model 5008 sebenarnya diperkenalkan pada tahun 2009 dengan kod T87 setahun selepas pengenalan model 3008 yang menggunakan kod T84.

Sewaktu diperkenalkan untuk generasi pertama dulu, model 5008 direka dengan menggunakan konsep MPV 7 tempat duduk. Mungkin kerana kegilaan peminat seluruh dunia, Peugeot terpaksa mengikut selera majoriti dengan menggunakan rekaan SUV. Maka jalan mudah ialah, jadikan 3008 sebuah SUV 7 tempat duduk

Perubahan ini diikuti dengan perubahan kod projek kepada P87 (3008 menggunakan kod P84) apabila diperkenalkan pada tahun 2017 dan diikuti dengan facelift pada tahun 2020. Walaupun rekaannya hampir sama, dimensi 5008 adalah lebih besar dengan panjang 4670mm, lebar 1855mm dan tinggi menjadi 1655mm.

Malah 5008 lebih berat berbanding dengan 3008 pada 1595kg. Satu-satunya ciri yang membezakan 3008 dengan 5008 ialah logo tulisan 5008 di bahagian pintu belakang dan juga cermin sisi di bahagian belakang iaitu quarter glass yang lebih panjang dan besar.

Jarak antara roda juda diubah menjadi lebih panjang menjadi 2840mm dengan tayar belakang diposisikan di hujung cesi bagi ruang kabin yang lebih baik. Buktinya ialah sekiranya semua kusyen digunakan, 5008 masih menyediakan ruang sebesar 167 liter.

Di bahagian dalam, apa yang anda jumpa pada 3008 juga turut ditemui pada 5008 bermula dari kusyen barisan pertama dan juga kedua. Yang berbeza hanyalah ia lebih panjang untuk memuatkan 2 penumpang dewasa di bahagian belakang untuk perjalanan singkat.

Mungkin jika mereka liat bayar hutang anda, bawa mereka dari Johor Bharu sampai ke Arau. Nesacaya mereka akan cepat bayar hutang anda bila sampai di Arau. Sekiranya tidak digunakan, tanam sahaja kusyen barisan ke 3 dalam lantai bagi memberikan ruang sebsar 952 liter dan barisan kedua mempunyai ruang kaki yang cukup lapang

Kalau anda rasa perlukan lebih ruang, kusyen ini boleh dibawa keluar dan disimpan dalam rumah bagi menyediakan ruang simpanan sebesar 1060 liter. Atau lipat kusyen barisan kedua bagi menghasilkan ruang sebesar 2042 liter.

Pengalaman penulis dengan 5008 cukup menarik dengan penulis berjaya memuatkan berbakul-bakul hadiah untuk tetamu majlis kenduri, dari rumah ke dewan menggunakan 5008. Tak perlu buat 2 kali perjalanan. Sekali harung terus setel.

Buka sahaja ruang enjin, maka anda akan menemui enjin Prince 1600cc 4 silinder turbo dengan suntikan bahan api terus yang sama digunakan pada model 3008. Ia masih menjana 165 kuasa kuda dan 240Nm tork, digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan automatik.

Pada hemat penulis, talaan gear ratio pada gear 1 sehingga 3 ditala dengan sedikit pendek bagi membantu pecutan. Tapi jika anda cuba menggunakan mode manual, pecutan 5008 terasa terasa sedikit berat dan tersekat menjadikan 5008 kurang lincah jika ingin dibawa menari di selekoh.

Tapi kalau orang beli SUV 7 tempat duduk, semuanya berfikiran normal dan memandu dengan berhemah bukannya seperti penulis yang bagaikan kanak-kanak yang mendapat mainan baru. Semua nak dilenjan. Jika anda memandu secara berhemah, ia masih berupaya memberikan bacaan bahan api sekitar 14.5km per liter

Rasanya angka ini adil bagi sebuah SUV 7 tempat duduk dengan berat mencecah 1600kg dan dibawa dengan laju. Malah dalam aspek kuasa membrek, 5008 memberikan prestasi yang lebih baik berbanding 3008. Brek cukup sensitif bagaikan anda memandu sebuah kereta sport dan menjadikan anda yakin untuk kekal di lorong kanan lebuh raya.

Platform PSA EMP2 juga boleh dikatakan cemerlang di laluan lurus walaupun menggunakan torsion beam di bahagian belakang. Cuma apabila melalui selekoh dengan laju, masalah biasa torsion beam iaitu tayar melompat apabila berjumpa dengan bonggol atau lubang tetap ada

Tapi jika anda tidak keberatan, tekan sahaja butang Sport dan layankan proses penukaran gear dengan menggunakan paddle shift yang dipasang di belakang stering. Turunkan satu gear dan tekan pedal minyak terus tanpa ragu-ragu. 5008 akan terus memecut deras sebaik sahaja ia membina momentum

Sementara itu penumpang belakang boleh menikmati perjalanan yang selesa dengan kadar kebisingan hanyalah sekitar 56dB sahaja jika 5008 dipandu pada halaju 110km/jam. Disebabkan kualiti tebatan bunyi yang bagus, kualiti muzik yang didengar dalam kereta juga cukup sedap dialunkan

Jika hari tidak panas terik, buka sahaja moonroof buka terus penutup kaca jika anda memandu di kawasan peranginan tanah tinggi. 5008 menyediakan unit pengecaj telefon tanpa wayar, sambungan Apple Car Play, Android Auto, sambungan USB untuk mengecaj telefon, soket 12 volt dan juga corong penyaman udara untuk barisan ke dua

Dalam aspek keselamatan pula, 5008 hanya dibekalkan dengan ciri Amaran Titik Buta, Active Lane Keeping Assit, Driver Attention Warning dan juga sistem Amaran Tekanan Angin Tayar. Untuk pasaran luar negara, 5008 mendapat ciri Driver Assist Pluc Package lengjap dengan Night Vision untuk jarak 200 meter, brek kecemasan automatik, Adaptive Cruise Control, Park Assist dan High Beam Assist.

Pada hemat penulis jika ia dipasang pada model pemasangan tempatan ini, harga 5008 mungkin akan melonjak melebihi RM 200,000 menjadikan posisi harga tidak lagi menarik perhatian pembeli. Anda kena terima kelemahan ini kerana beberapa kenderaan lain jenama Eropah juga masih lagi tidak dipasang dengan ciri brek kecemasan automatik

Dengan jarak kelegaan permukaan jalan mencecah 236mm dan dilengkapkan dengan ciri Advance Grip Control, serta ruang kargo yang besar menjadikan 5008 sebuah SUV serba boleh bagi kegunaan anda. Ia tidak kekok diparkir di lobi hotel, masih boleh dibawa ke kawasan yang sukar dlalui oleh kenderaan biasa dengan ciri Advance Grip Control dan ruang kargo boleh memuatkan basikal lipat atau peralatan berkhemah

Apa yang lebih menarik ialah, dibawah jagaan Bermaz jenama Peugeot seakan hidup kembali dengan pelbagai tawaran menarik seperti 5 tahun jainan dan 5 tahun servis percuma termasuk alat ganti. kalau ditanya pada penulis apakah berbaloi untuk anda bayar RM 182,288 maka penulis kata berbaloi kalau anda ada duit dan ada taste yang luar biasa berbanding orang kebanyakan.

Google ads
Back to top button