
GODZILLA JADI ULTRAMAN
Filem: Godzilla
Genre: Aksi, sains-fiksyen, thriller, drama
Pengarah: Gareth Edwards
Pelakon: Aaron Taylor-Jonhson, Bryan Cranston, Ken Watanabe, Elizabeth Olsen, Sally Hawkins dan Juliette Binoche.
Bintang: **
Godzilla muncul di layar perak sejak 60 tahun lalu.Raksasa ganas ini merupakan lambang ironik rakyat Jepun yang juga dikenali dengan nama,Gojira atau Daikaijun. Sejak pertama kali ditonjolkan dalam filem dengan judul Godzilla pada tahun 1954, popularitinya lalu menular ke seluruh dunia apabila sebuah syarikat penerbitan filem Jepun, Toho Co., Ltd. Td. telah menerbitkan sejumlah 28 buah filem tentang Godzilla.
Itu sejarah silam kelahiran Godzilla. Tahun ini, Godzilla kembali mengganas di layar lebar, kekal dengan judul yang sama, Godzilla. Genre naskhah arahan Gareth Edwards ini secara amnya adalah gabungan elemen aksi, sains-fiksyen dan thriller. Namun, cuba mengangkat filem ini kepada status gred A, ia turut disuntik dengan elemen drama.
Justeru, mampukah pengarah kelahiran Britain berusia 38 tahun itu yang pernah mengarah produksi berjudul, Monster dengan bajet hanya AS$500,000 mencetuskan magis pecah panggung terhadap naskhah yang menelan kos mencecah AS$160 juta ini?
Ini versi kedua Hollywood tentang Godzilla. Versi Godzilla pertama Hollywood, juga berjudul Godzilla yang diterbitkan pada tahun 1998 pernah dikecam hebat apabila dikatakan gagal untuk meletakkan statusnya pada tahap gred A.
Namun produksi arahan pengarah tersohor, Roland Emmerich itu sukses pecah panggung dengan mengumpul kutipan tiket mencecah AS$379 juta berbanding kos penerbitannya, AS$130 juta. Ia juga disuntik elemen humor dengan tenaga lakonan utama direalisasikan barisan pelakon terkenal yang memiliki aura dan karakter tersendiri terdiri daripada Matthew Broderick, Jean Reno dan Hank Azaria.
Sebuah naskhah drama perlu menampilkan barisan pelakon yang memiliki daya lakonan penuh aura, khusus untuk mencetuskan elemen tersebut supaya impaknya dapat dirasai audiens. Malangnya, tenaga barisan lakonan utama lakonan utama Godzilla versi 2014 ini kurang dikenali.
Cuma ada pemenang Oscar, aktres Juliette Binoche dan calon Oscar sebanyak tiga kali, aktor kelahiran Jepun, Ken Watanabe dalam kalangan pelakon utamanya, naskhah Godzilla kali ini sudah pasti perlu menggantungkan harapan kepada aura kemunculan Godzilla itu sendiri.
Malangnya lagi, Godzilla hanya muncul selepas hampir satu jam filem ini berputar. Satu jam awal putaran naskhah ini ternyata diisi dengan elemen drama kemanusiaan. Dimulakan dengan karakter Joe Brady (lakonan berdaya impak aktor Bryan Cranston) dan isterinya, Sandra (Juliette Binoche) yang bekerja di sebuah pusat nuklear di Jepun.
Malangnya, berlaku suatu malapetaka misteri yang telah memusnahkan pusat nuklear tersebut akibat kebocoran gas beracun dan Sandra, antara yang terbunuh. Dihantui tragedi tersebut, 15 tahun kemudian, Joe bersama anak tunggalnya, Ford (Aaron Taylor-Johnson) kembali ke tapak nuklear tersebut yang telah ditutup kepada umum.
Mereka bagaimanapun dikejutkan oleh kemunculan seekor raksasa dari era dinasour, dikenali sebagai MUTO atau ‘Massive Unidentified Terrestrial Organism’ yang menghala ke San Francisco, Amerika Syarikat untuk bersua pasangannya sebelum mampu melahirkan beribu-ribu anak. Serentak itu, Godzilla muncul dan turut menuju ke San Francisco untuk menghalang penyatuan biologi MUTO jantan dan betina itu.
Klimaks filem ini sudah tentulah kemusnahan hebat San Francisco yang menjadi bak padang jarak padang tekukur sebagai medan perang antara ketiga-tiga raksasa ganas tersebut. Menunggu lebih selama hampir dua jam untuk dihidangkan dengan adegan klimaks ini, ternyata tidak berbaloi.
Apa yang disaksikan tidak ubah seperti siri TV popular Jepun, Ultraman yang biasa ditampilkan bertempur dengan raksasa-raksasa ganas di tengah-tengah bandaraya yang dihuni manusia. Cuma dalam naskhah ini, Godzilla seolah-olah berperanan sebagai Ultraman – sebagai wira bagi menghapuskan raksasa MUTO untuk kembali mengekalkan keamanan dan kestabilan di bumi yang dihuni manusia.
Ia kedengaran bukan sahaja tidak masuk di akal tetapi agak kelakar untuk sebuah produksi mega Hollywood. Babak klimaks itu juga menyebabkan elemen drama yang diterapkan pada awal filem hilang lenyap dan terus dilupakan seumpama debu ditiup angin, sementelah ia sudah biasa dibikin dalam produksi Hollywood selama ini. Mega klise. Malang sungguh, Godzilla versi 2014 ini sangat terasa kepalsuannya.













