Buletin

SELEPAS AKSI TUNDA PESAWAT DI UK, ISU SUSPENSI DENZA B5 JADI BUALAN DI CHINA

Aksi luar biasa SUV elektrik hibrid Denza B5 menunda pesawat Boeing 747 di United Kingdom (UK) mencuri perhatian ramai, namun model keluaran BYD itu kini berdepan perhatian berbeza susulan dakwaan kerosakan komponen gandar dan suspensi belakang oleh beberapa pemilik di China.

Kenderaan yang turut dikenali sebagai Fang Cheng Bao Bao 5 di pasaran China itu dilaporkan mengalami kerosakan aci pemacu separuh (half-shaft), khususnya ketika digunakan dalam aktiviti pemanduan lasak di kawasan luar jalan dan permukaan berpasir.

Beberapa video yang dimuat naik ke platform media sosial Douyin turut memperlihatkan kenderaan berkenaan mengalami kerosakan pada bahagian roda belakang serta sistem suspensi ketika berada di jalan raya.

Bagaimanapun, punca sebenar kerosakan masih belum dapat dipastikan kerana rakaman berkenaan tidak menunjukkan sebarang perlanggaran atau disertakan laporan pemeriksaan teknikal.

Malah, terdapat pemilik yang mendakwa tuntutan jaminan mereka ditolak oleh pusat pengedar selepas berlaku kerosakan pada komponen half-shaft ketika melakukan pemanduan luar jalan.

Setakat 20 November lalu, BYD dan pihak berkuasa China masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

Semakan rekod turut tidak menunjukkan sebarang kempen panggil balik khusus berkaitan kerosakan suspensi atau aci pemacu Denza B5.

Bagaimanapun, BYD pernah melaksanakan kempen panggil balik melibatkan 6,843 unit Bao 5 pada 24 Januari 2025 bagi kenderaan yang dihasilkan antara 16 Oktober 2023 hingga 1 Februari 2024.

Kempen itu dibuat susulan kemungkinan masalah bolt sambungan dalaman pada pengawal motor berkembar bersepadu yang berpotensi menyebabkan percikan elektrik, asap atau kebakaran. Penyelesaiannya adalah dengan menggantikan komponen pengawal berkenaan.

Untuk rekod, Denza B5 memperoleh penarafan keselamatan lima bintang daripada ANCAP, dengan skor 86 peratus bagi perlindungan penumpang dewasa, 95 peratus untuk penumpang kanak-kanak, 74 peratus bagi perlindungan pengguna jalan raya yang rentan dan 78 peratus untuk sistem bantuan keselamatan.

Walaupun mempunyai penarafan keselamatan yang baik, dakwaan kerosakan yang tular di China itu tetap menimbulkan persoalan mengenai ketahanan komponen mekanikal B5, khususnya apabila digunakan dalam keadaan pemanduan lasak.

Google ads
Back to top button