Buletin

BYD MALAYSIA, SIME MOTORS BERGABUNG – SHARK 6 MODEL PERTAMA DIPASANG SECARA TEMPATAN

BYD Malaysia memulakan pemasangan kenderaan secara tempatan menerusi BYD SHARK 6 yang dipilih sebagai model sulung bagi operasi pemasangan di Malaysia.

Kerjasama antara BYD Malaysia dan Sime Motors itu menyaksikan pemasangan BYD SHARK 6 dilaksanakan di Inokom Corporation (Inokom), Kulim, Kedah, sekali gus menandakan langkah penting dalam pengembangan operasi BYD di negara ini.

Inisiatif berkenaan turut menyokong aspirasi Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), khususnya dalam memperkukuh keupayaan pembuatan tempatan, membangunkan ekosistem kenderaan generasi baharu serta meningkatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan automotif.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelaburan syarikat automotif global seperti BYD mampu merangsang pertumbuhan industri menerusi pengenalan teknologi baharu, persaingan sihat dan pembangunan keupayaan tempatan.

Beliau berkata, pembangunan ekosistem automotif juga perlu merangkumi pembuatan, pembangunan tenaga kerja serta infrastruktur pengecasan bagi menyokong peralihan kepada mobiliti elektrik.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, kemudahan pemasangan tempatan itu merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang syarikat untuk terus berkembang di Malaysia.

Menurutnya, kerjasama dengan Sime Motors bukan sekadar melibatkan pemasangan kenderaan, malah membuka ruang kepada perkongsian teknologi, kepakaran dan pemindahan kemahiran kepada industri tempatan.

Pemilihan BYD SHARK 6 sebagai model pertama dipasang di Malaysia turut memperlihatkan usaha BYD memperluas penawaran produknya ke segmen pikap 4×4.

Model berkenaan diperkenalkan di pasaran Malaysia pada 2025 dan menerima sambutan positif daripada pelanggan tempatan, sekali gus membuka peluang kepada BYD untuk menjangkau kumpulan pengguna yang lebih luas.

Operasi pemasangan di Inokom pula memanfaatkan infrastruktur sedia ada, tenaga kerja berpengalaman serta rangkaian pembekal tempatan yang dibangunkan Sime Motors.

Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan berkata, keupayaan pembuatan dan jaringan pembekal syarikat itu dapat menyokong operasi BYD serta mewujudkan peluang baharu kepada rakan industri tempatan.

Kerjasama tersebut dijangka memperkukuh peranan Malaysia dalam industri automotif serantau, selain meningkatkan penglibatan pemain tempatan dalam pembangunan kenderaan tenaga baharu.

Maklumat lanjut mengenai operasi pemasangan tempatan BYD akan diumumkan pada masa akan datang.

Ketika pengenalan model ini pada November tahun lalu, spesifikasi dan ciri untuk pasaran tempatan tidak didedahkan. Bagi versi Australia, BYD SHARK 6 menggunakan enjin petrol 1.5 liter pengecas turbo bersama dua motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 436hp dan tork maksimum 650Nm.

Gabungan sistem itu membolehkan trak pikap berkenaan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.7 saat, manakala penggunaan bahan api direkodkan serendah 2.0 liter bagi setiap 100 kilometer ketika bateri berada pada tahap penuh.

SHARK 6 dilengkapi bateri berkapasiti 29.58kWh yang membolehkan perjalanan sejauh 100km menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya berdasarkan piawaian NEDC, selain menawarkan jarak pemanduan keseluruhan sehingga 800km.

Untuk pengecasan, model itu menyokong pengecasan AC 7kW yang mengambil masa kira-kira dua jam bagi mengecas bateri daripada 30 hingga 80 peratus. Pengecasan pantas DC 55kW pula membolehkan tahap bateri sama dicapai dalam sekitar 25 minit.

Google ads
Back to top button