Buletin

BYD PERKENAL STERENG BOLEH LIPAT DAN DISIMPAN, BERI RUANG LEBIH LUAS KEPADA PEMANDU

BYD memperkenalkan satu ciri unik menerusi SUV terbaharunya, Fang Cheng Bao Ti 9 di China, iaitu stereng boleh lipat yang boleh disimpan ke dalam papan pemuka apabila kenderaan berada dalam keadaan parkir.

Teknologi itu mencuri perhatian ketika pelancaran model berkenaan apabila Ti 9 dilihat mampu melakukan parkir secara automatik dengan sterengnya dilipat masuk ke dalam papan pemuka selepas pemandu keluar dari kenderaan.

Bagaimanapun, fungsi stereng boleh lipat itu bukan sekadar untuk kegunaan ketika parkir automatik. BYD menjelaskan bahawa teknologi tersebut dibangunkan dengan mengambil kira perkembangan pemanduan autonomi pada masa hadapan, khususnya sistem automasi Tahap 3 dan Tahap 4.

Naib Presiden Eksekutif BYD, He Zhiqi, berkata reka bentuk ruang kabin Ti 9 sememangnya dirancang untuk memenuhi keperluan era pemanduan autonomi.

Idea berkenaan sebenarnya sudah diperlihatkan menerusi konsep e-Seed GT pada 2019, namun hanya berjaya direalisasikan dalam model produksi selepas mengatasi kekangan sistem tiang stereng mekanikal konvensional.

Buat masa ini, fungsi utama stereng tersebut adalah memberikan lebih keselesaan kepada pemandu ketika kenderaan tidak bergerak. Ia tidak boleh dilipat semasa pemanduan biasa, termasuk ketika sistem bantuan pemanduan God’s Eye B diaktifkan.

Apabila kenderaan berhenti dan transmisi ditetapkan kepada mod Park (P), mekanisme bermotor akan memutarkan stereng sebanyak 180 darjah sebelum menyimpannya sehingga rata dengan permukaan papan pemuka.

Proses tersebut mengambil masa kira-kira 10 saat dan memberikan tambahan ruang kaki sehingga 25 sentimeter di bahagian pemandu.

Ruang yang terhasil juga boleh dimanfaatkan untuk meletakkan meja kecil, manakala tempat duduk boleh direbahkan sehingga sudut 165 darjah dalam tempoh sekitar 20 saat bagi membolehkan pemandu berehat atau tidur seketika.

Namun, sistem keselamatan memastikan stereng perlu dikembalikan ke kedudukan asal dan dikunci sepenuhnya sebelum kenderaan boleh dipandu semula.

Menariknya, teknologi ini turut berfungsi ketika proses parkir menggunakan kawalan jauh. Selepas pemandu keluar, stereng boleh dilipat ketika SUV itu melakukan parkir secara automatik dan kembali terbuka apabila kenderaan bergerak keluar dari ruang parkir. Sepanjang proses tersebut, pemandu perlu berada di luar kenderaan.

Keupayaan ini dimungkinkan menerusi penggunaan teknologi steer-by-wire, iaitu sistem yang menghantar arahan stereng secara elektronik kepada aktuator untuk mengawal arah roda, tanpa memerlukan sambungan mekanikal konvensional antara stereng dengan sistem roda hadapan.

Walaupun boleh dilipat, stereng berkenaan masih mengekalkan bentuk rim penuh serta butang kawalan fizikal apabila berada dalam kedudukan terbuka.

Dari aspek ketahanan, BYD mendakwa mekanisme lipatan itu sudah menjalani 96,000 ujian ketahanan dalam suhu ekstrem antara -30 hingga 85 darjah Celsius. Syarikat itu turut menguji fungsi beg udara pemandu ketika stereng berada dalam kedua-dua kedudukan, termasuk ketika disimpan di dalam papan pemuka.

BYD turut memaklumkan bahawa sistem elektronik stereng dilengkapi mekanisme sokongan bagi memastikan aspek keselamatan terus diberi keutamaan.

Bagaimanapun, pengeluar dari China itu masih belum mengumumkan bila fungsi stereng boleh lipat tersebut akan dibenarkan digunakan ketika kenderaan bergerak dalam mod pemanduan autonomi Tahap 3 atau Tahap 4.

Buat masa ini, ia lebih tertumpu kepada meningkatkan keselesaan pemandu ketika kenderaan berhenti.

Google ads
Back to top button