
BYD MALAYSIA KEMAS KINI PERISIAN DENZA Z9GT, SEDIA SOKONG FLASH CHARGE
BYD Malaysia memulakan pengedaran kemas kini perisian Over-The-Air (OTA) untuk DENZA Z9GT bermula 10 November 2026 sebagai persediaan menyokong teknologi pengecasan pantas BYD Flash Charge yang bakal dilancarkan pada 19 November ini.
Kemas kini berkenaan melibatkan pengoptimuman sistem pengurusan tenaga bagi menyokong pengecasan berkuasa tinggi, termasuk penghantaran tenaga lebih pantas dan kawalan suhu lebih baik ketika proses pengecasan.
Selain itu, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) turut ditambah baik, khususnya Intelligent Cruise Control, Traffic Sign Recognition serta sistem parkir automatik bagi meningkatkan kelancaran dan ketepatan operasi.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, kemas kini itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap sokongan perisian berterusan, selain memastikan pemilik DENZA Z9GT bersedia menggunakan ekosistem pengecasan baharu berkenaan.
Pemilik kenderaan akan menerima notifikasi automatik menerusi skrin utama dan proses pemasangan mengambil masa kira-kira dua jam.
Bagaimanapun, kenderaan perlu diletakkan dalam keadaan parkir serta tidak digunakan sepanjang tempoh kemas kini.









