
BYD YANGWANG U9 XTREME RASMI CATAT MASA 503.17KM/H
BYD sekali lagi membuktikan kemampuan teknologi kenderaan elektriknya apabila hypercar Yangwang U9 Xtreme berjaya mencatatkan kelajuan maksimum 503.17 km/j sekaligus menjadi kereta produksi pertama di dunia yang melepasi angka 500 km/j.
Rekod terbaharu itu dicatatkan pada 1 November 2026 di Sheikh Khalifa Bin Zayed International Road (E11) di Al Dhafra, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu. Percubaan berkenaan dikendalikan oleh pemandu profesional dari Jerman, Marc Basseng yang sebelum ini turut mencatatkan rekod kelajuan 496.22 km/j menggunakan model sama di litar ujian ATP Papenburg, Jerman pada September 2025.
Pencapaian terbaharu ini bukan sekadar mengatasi rekod terdahulu yang dicatatkan oleh U9 Xtreme sendiri, malah meletakkan BYD dalam kelompok pengeluar kereta yang mampu menghasilkan kenderaan produksi dengan kelajuan melebihi 500 km/j.

Rekod berkenaan turut mendapat pengiktirafan Fédération Internationale de l’Automobile (FIA) dan Guinness World Records dengan melibatkan dua pengiktirafan, iaitu kelajuan tertinggi bagi kereta produksi dalam percubaan satu hala serta kelajuan tertinggi bagi kereta produksi elektrik dalam kategori sama.
Percubaan kali ini tidak dilakukan di litar ujian khusus seperti di Jerman tetapi BYD memilih laluan E11 di Abu Dhabi yang ditutup sementara untuk membolehkan ujian kelajuan tinggi dijalankan dengan selamat. Laluan sepanjang kira-kira 10 km disediakan untuk ujian berkenaan, termasuk bahagian lurus sekitar 7 km yang digunakan bagi mencapai kelajuan maksimum.
Permukaan jalan turut diperiksa dan dibersihkan terlebih dahulu kerana kawasan tersebut terletak berhampiran gurun dan berpotensi mempunyai pasir serta kotoran yang boleh menjejaskan cengkaman tayar. Percubaan sebenarnya bermula pada 31 Oktober 2026 dengan 2 percubaan yang mencatatkan kelajuan maksimum sekitar 490 km/j. Pasukan kejuruteraan kemudian melakukan beberapa penambahbaikan sebelum menyambung ujian pada hari berikutnya.

Antara perubahan yang dilakukan termasuk pelarasan sudut sayap belakang bagi menghasilkan lebih banyak downforce, pengubahsuaian perisian suspensi untuk mengawal pergerakan badan kenderaan serta pelarasan tekanan tayar. Hasilnya percubaan kedua pada 1 November berjaya mencatatkan kelajuan 503.17 km/j.
Dari segi mekanikal, Yangwang U9 Xtreme menggunakan empat motor elektrik yang dipasang secara berasingan pada setiap roda dengan etiap motor menghasilkan kuasa sekitar 745 PS, menjadikan jumlah output keseluruhan mencecah 2,977 PS atau kira-kira 2,200 kW.
Setiap motor juga mampu berputar sehingga 30,000 rpm bagi membolehkan sistem pacuan empat motor itu menghasilkan kuasa yang diperlukan untuk mencapai kelajuan ekstrem. Berbanding sistem pacuan elektrik biasa yang menggunakan satu atau dua motor, konfigurasi ini membolehkan penghantaran kuasa dikawal secara lebih terperinci pada setiap roda.

Sistem e4 Platform yang digunakan turut dilengkapi teknologi torque vectoring bebas dimana sistem tersebut boleh mengubah penghantaran tork kepada setiap roda lebih daripada 100 kali sesaat bagi memastikan kestabilan dan cengkaman ketika kereta memecut atau mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Satu lagi perbezaan besar berbanding Yangwang U9 standard ialah penggunaan seni bina elektrik 1,200 volt. Ia merupakan peningkatan daripada sistem 800 volt yang digunakan pada model U9 biasa dan membolehkan sistem rangkaian kuasa mengendalikan penghantaran tenaga yang jauh lebih tinggi.
Bagi menyokong empat motor elektrik berkuasa besar itu, BYD menggunakan bateri Blade berasaskan kimia lithium iron phosphate (LFP) yang telah dipertingkatkan untuk kegunaan prestasi tinggi. Sistem bateri tersebut mempunyai kadar nyahcas sehingga 30C, membolehkan tenaga elektrik dibekalkan dengan pantas kepada motor ketika pecutan maksimum.

Walaupun tahap cas bateri hanya berbaki 20 peratus, sistem tersebut masih mampu menyokong output kuasa sehingga 1,800 kW. Sistem brek regeneratif pula mempunyai kadar pemulihan tenaga melebihi 700 kW bagi membantu mengurangkan beban terhadap sistem brek mekanikal.
Penggunaan seni bina 1,200 volt turut membantu mengurangkan penghasilan haba sehingga 67 peratus berbanding sistem 800 volt pada output kuasa yang sama, menurut data teknikal BYD. Pengurusan haba merupakan aspek penting kerana komponen elektrik perlu beroperasi dalam keadaan stabil ketika menghasilkan kuasa yang sangat tinggi secara berterusan.









