
BYD SHARK 6 PHEV DIDEDAHKAN DI MALAYSIA – JANA 436HP, JARAK GERAK 800KM
BYD Sime Motors hari ini telah mendedahkan sebuah trak pikap plug-in hibrid (PHEV), BYD Shark 6 sempena acara BYD Tech Discovery di Plaza Arkadia yang berlangsung bermula dari 14 hingga 16 November ini.
Lebih menarik, kemunculan Shark 6 turut menandakan perubahan besar dalam strategi BYD Malaysia.
Ini kerana ia menjadi model pertama BYD di Malaysia yang menggunakan enjin pembakaran dalaman, digandingkan dengan sistem hibrid Dual Mode Offroad (DMO), versi off-road kepada sistem hibrid Dual Mode (DM-i).

Di bawah hud, Shark 6 menggunakan enjin 1.5 liter pengecas turbo bersama dua motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 436hp dan tork 650Nm.
Prestasinya cukup mengagumkan, di mana pecutan 0-100 km/j hanya 5.7 saat, sementara penggunaan bahan api direkodkan serendah 2.0L/100km dengan bateri penuh.
Trak ini turut dilengkapi bateri 29.58kWh yang memberikan jarak 100km (NEDC) dengan kuasa elektrik sepenuhnya, serta jarak keseluruhan 800km.

Untuk pengecasan, ia menyokong pengecasan AC 7kW (30-80% dalam 2 jam) dan DC 55kW (30-80% dalam 25 minit).
Dari segi reka bentuk, keseluruhan gayanya tetap mengekalkan elemen utilitarian dan lasak yang sinonim dengan pikap moden.
Bahagian dalamannya pula menampilkan paparan infotainmen 15.6-inci yang boleh berputar, dipadankan dengan kluster instrumen digital 10.25-inci.

Antara ciri pada versi Australia termasuk kawalan suhu dua zon, tempat duduk depan dengan pemanas dan ventilasi, paparan HUD, balutan kulit sintetik hitam serta pelbagai sistem keselamatan aktif (ADAS).
Jika benar Shark 6 akan dilancarkan dalam masa terdekat, BYD bukan sekadar mahu menawan segmen EV, mereka nampaknya sudah bersedia untuk menggegarkan dunia pikap tempatan dengan gabungan kuasa, teknologi dan kecekapan bahan api.
- BACA: MOTO GUZZI V85 2026 – TIGA VARIAN DAN PERSONALITI, WARNA BAHARU LEBIH MENONJOL
- BACA: KIA TELLURIDE BAHARU – LEBIH RUGGED DAN LAWA TETAPI MASIH DENGAN GAYA SUV AMERIKA
- BACA: BARISAN PEMANDU UNTUK PASUKAN TOYOTA GAZOO RACING WRC 2026 DIUMUM DENGAN OLIVER SOLBERG MASUK GANTIKAN KALLE ROVANPERA
- BACA: BYD TECH DISCOVERY BERLANGSUNG 14-16 NOVEMBER – TAWAR PENJIMATAN HINGGA RM20K, ADA SESI PANDU UJI



