Buletin

CARLOS GHOSN DIDAKWA CUBA PECAT CEO NISSAN SEBELUM DITANGKAP, TAPI TAK SEMPAT

Selepas hampir tiga minggu ditahan, hubungan di antara bekas Pengerusi Nissan, Carlos Ghosn dan protégé di syarikat pengeluar Jepun itu mula hangat diperkatakan.   

Ia dilihat sebagai antara punca utama siasatan dijalankan ke atas Ghosn dan meletakkan ikon pemotoran itu kini terpaksa merengkok di dalam sebuah penjara di Tokyo, Jepun.

Ghosn didakwa merancang selama berbulan-bulan untuk menukar pengurusan teratas Nissan. Dia juga diketahui mahu memecat Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Hiroto Saikawa dikatakan bakal melaksanakan pelan itu dalam satu mesyuarat ahli pengarah pada November lalu.

Biarpun begitu, sumber rapat yang peka dengan kes Ghosn dan operasi Nissan memberitahu tidak wujud rancangan untuk mengeluarkan Saikawa sebelum tempoh lantikannya tamat pada April tahun depan. Perubahan pengurusan teratas memerlukan kelulusan ahli lembaga Nissan.

BACA: CARLOS GHOSN – LELAKI AJAIB DI SEBALIK PAKATAN RENAULT-NISSAN

Hubungan keruh di antara Saikawa dan Ghosn sebenarnya sudah berlarutan agak lama. CEO itu dilapor menjadi penentang utama niat Ghosn untuk mengukuhkan lagi pakatan di antara Nissan dengan Renault SA menerusi penggabungan.

Sebaik sahaja Ghosn ditahan kerana salah laku, menyalahguna aset syarikat dan memalsukan pendapatan selama bertahun-tahun, Saikawa pantas menunjukkan bahawa dia lah yang sedang mengawal keadaan.

BACA: GHOSN AKAN DIUNDURKAN DARI RENAULT – MENTERI KEWANGAN PERANCIS

Malah, CEO itu tampil seorang diri dalam satu sidang media yang diadakan lewat malam, hanya selepas beberapa jam Ghosn ditahan dan mengecam tingkah lakunya. Saikawa juga menyifatkannya sebagai sisi hitam pentadbiran Ghosn sejak sekian lama.

Ghosn dikatakan bimbang dengan prestasi baik yang ditunjukkan oleh Saikawa. Misalnya bagaimana dia mengendalikan masalah jualan yang kian merudum di pasaran Amerika Syarikat serta isu kualiti yang dihadapi Nissan di Jepun.

Google ads
Back to top button