
CFMOTO V4 SR-RR TARIK PERHATIAN CEO DUCATI CLAUDIO DOMENICALI
Baru-baru ini telah berlangsungnya pameran motosikal terbesar dunia menerusi EICMA yang berlangsung di Milan, Itali.
Menariknya, edisi 2025 turut mencatatkan rekod kehadiran pengunjung tertinggi dengan lebih 600,000 kedatangan.

Antara motosikal yang mencuri tumpuan adalah di kem CFMoto yang julung kalinya mempamerkan prototaip superbike bernadikan enjin V4 yang dinamakan CFMoto V4 SR-RR.
Motosikal berkenaan bukan hanya menjadi tumpuan pengunjung malah turut mencuri perhatian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ducati, Claudio Domenicali.

Video Domenicali bersama beberapa wakil dari Ducati berada di reruai CFMoto bagi melihat prototaip berkenaan turut tular di media sosial.
Walaupun CFMoto tidak mendedahkan maklumat terperinci mengenai jentera V4 itu namun pengeluar motosikal dari China itu masih mengumumkan beberapa info penting.

Pertamanya, CFMoto mendakwa SR-RR itu menawarkan 210hp dan merekodkan berat bawah 200kg. Menariknya, CFMoto turut memaklumkan bahawa motosikal berkenaan mampu mencapai kelajuan lebih 300km/j.
Keduanya, V4 SR-RR ini turut dilengkapi dengan suspensi elektronik sekaligus setaraf dengan pesaing lain dalam segmen sama.

Namun begitu, yang membezakan V4 SR-RR ini dengan jenama lain adalah aero aktif (active aerodynamics) berupa winglet hadapan yang boleh bergerak secara sendiri mengikut kelajuan dan lean-angle jentera.








